UiTM setuju kekalkan Fakulti Masscomm - Alumni FKPM

Universiti Teknologi Mara
Universiti Teknologi Mara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pandangan Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM untuk membatalkan penggabungan FKPM dengan dua fakulti lain dan bersetuju mengekalkan FKPM sebagai fakulti tunggal.

Presiden Alumni FKPM (Alumi Masscomm UiTM), Basree Rakijan berkata, perkara itu dimaklumkan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Datuk Roziah Mohd Janor dalam pertemuan bersama wakil persatuan berkenaan dengan pihak UiTM, semalam.

Bagaimanapun, institusi itu memaklumkan proses pembatalan itu memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan.

"Dalam pertemuan itu, Alumni Masscomm meminta UiTM membatalkan serta-merta penggabungan itu berdasarkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 1 November 2022 kepada universiti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPT telah memutuskan sama ada UiTM menukar nama gabungan ketiga-tiga fakulti itu kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik atau melakukan penstrukturan semula dengan mengekalkan FKPM seperti sebelum ini

Basree berkata, tindakan pembatalan gabungan itu perlu disegerakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di fakulti tersebut, selain mengelakkan timbul pelbagai masalah serta kekeliruan berikutan penggabungan itu.

Basree berkata, Alumni Masscomm turut menghargai pendirian terbaharu pengurusan UiTM yang menerima pandangan Alumni Masscomm dan bersetuju mengekalkan FKPM.

"Saya percaya pengurusan UiTM amat serius dalam menyelesaikan kemelut ini dan jika kita perlu menunggu tiga hingga enam bulan demi kebaikan dan masa depan fakulti, kami memahami,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober lepas, Alumni Masscomm mengadakan siri membantah terhadap keputusan universiti itu untuk menggabungan ketiga-tiga fakulti yang kini dinamakan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Penggabungan itu diumumkan Roziah pada sambutan ulang tahun ke-50 fakulti itu tahun lepas sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula universiti dan langkah penjimatan kos. - Bernama