Ahli UMNO jangan terperangkap 'mainan' jelik Pas, Bersatu

Khairul Azwan Harun
Khairul Azwan Harun
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak terperangkap dalam mainan naratif sempit dan jelik oleh musuh parti seperti Bersatu dan Pas yang sememangnya mahukan UMNO berpecah-belah.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kedudukan dan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajib dikekalkan kerana majoriti ahli-ahli mahukan kestabilan dan peranan UMNO yang besar dalam pentadbiran kerajaan.

"Sebarang perubahan pucuk pimpinan yang akan membawa risiko kepada ketidakstabilan politik negara sehingga menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan wajib dielakkan sama sekali.

"Kepimpinan dan kebijaksanaan Presiden parti telah memastikan UMNO terus relevan dan berada dalam teraju kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Adakah perlu bagi UMNO merubah kedudukan yang ada ini? Saya yakin majoriti ahli-ahli mahukan kestabilan dan peranan UMNO yang besar dalam pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar Khairul, perlu diingat bahawa perubahan pucuk pimpinan itu tidak dapat mengubah kedudukan 30 kerusi yang telah dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

"Negara akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun lagi.

"Negara dan rakyat tidak boleh dibelenggu dengan keadaan politik yang tidak stabil di waktu ekonomi masih belum pulih sepenuhnya serta risiko penularan Covid-19 yang masih wujud," ujarnya.