Balu Abam Bocey harap Ali Puteh tak lengah bayar ganti rugi

Siti Nor Hidayah menerusi perkongsian di akaun Instagram berharap bayaran berkenaan dibuat mengikut perintah mahkamah.
Siti Nor Hidayah menerusi perkongsian di akaun Instagram berharap bayaran berkenaan dibuat mengikut perintah mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali berharap adik iparnya, Ali Puteh tidak melengahkan perintah Mahkamah Sesyen di sini, berhubung bayaran RM60,000 bagi kes saman fitnah isu mengeluarkan kata-kata mengaibkan di Instagram, tiga tahun lalu.

Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Siti Nor Hidayah, 31, pada Rabu berharap, bayaran berkenaan tidak ditangguhkan dan dibuat mengikut perintah sebagaimana ditetapkan mahkamah.

"Semoga saya dan anak boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas ini.

"Alhamdulillah, syukur pada ALLAH, keputusan rayuan saman fitnah, mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada Hidayah," katanya dalam ruangan kapsyen gambar yang diambil di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 28 Disember tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, Ali Puteh gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada Siti Nor Hidayah kerana memfitnahnya di media sosial.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.

Pada 18 Februari 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Februari 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri Allahyarham memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu Siti Nor Hidayah.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga memfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.