Empat MP GRS serah kepada kebijaksanaan Speaker

Matbali ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah pada Khamis.
Matbali ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dua hari lalu berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah berkata, setakat ini mereka hanya menunggu keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat.

"Kita serahkan atas kebijaksanaan beliau (Speaker Dewan Rakyat).

"(Jawapan) sudah dihantar dua hari yang lalu, saya tidak ingat isi kandungannya tetapi semua memang sudah hantar. Kita cuma maklumkan yang kita bertanding atas GRS, kita GRS," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan bahawa empat ahli Parlimennya sudah menghantar jawapan kepada Speaker berhubung notis kekosongan kerusi di Dewan Rakyat.

Ditanya sama ada usaha untuk mengosongkan kerusi itu relevan, beliau memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan daripada Speaker.

"Tidak apa, kita serahkan atas kebijaksanaan Speaker. Kita tidak akan komen lebih sebab kita masih tunggu," katanya.

Ditanya jika beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi Parlimen Sipitang, beliau berkata tiada masalah.

Artikel Berkaitan:

"Kita tunggu, tiada masalah," katanya ringkas.

Sebelum itu, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Bersatu telah menghantar notis kepada Speaker untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Notis itu melibatkan empat ahlinya yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain Matbali, tiga lagi ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).