Tiada keperluan adakan usul undi percaya terhadap Hajiji

Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada keperluan untuk mengadakan usul undi percaya terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Joachim berkata, PBS menyokong sepenuhnya kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan tiada keperluan untuk mengadakan usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"110 peratus PBS masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

"Saya ingat tiada keperluannya (usul undi percaya di DUN) tapi jika diperlukan, kita boleh buat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah berikutan timbul khabar angin kerajaan Sabah goyah ketika ini.

Ditanya sama ada khabar angin itu akan mengugat kerajaan Sabah, beliau mengakui sudah tentu ada pihak yang cuba menganggu kestabilan kerajaan yang ada ketika ini.

"Tetapi apa yang menjadi keutamaan, kita bekerja dahulu dan kemudian kalau betul baru kita lihat apa yang boleh dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

 Ellron ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah, di Kota Kinabalu
Ellron ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah, di Kota Kinabalu

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Ellron Angin turut menyatakan sokongan parti kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ditanya jika beliau ada mendapat tawaran daripada pihak lain untuk mendapatkan sokongan, beliau menyatakan bahawa setakat ini tiada sebarang usaha ke arah itu.

"Saya tidak tahu tetapi setakat ini sokongan kita hanya kepada Hajiji. Memang ada dengar-dengar (khabar angin), apa yang kamu dengar itu sama juga kami dengar.

"Belum ada (cubaan membeli), mungkin (mereka) tidak berani sebab kami bersama Hajiji. Jangan cuba-cuba (membeli), kami setia kepada beliau," katanya.

Sebelum itu, timbul khabar angin bahawa ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menubuhkan kerajaan baharu sekaligus menumbangkan kerajaan GRS yang dipimpin Hajiji.