'Bukan sakit misteri, tapi kes influenza'

Maklumat yang tular di media sosial. Gambar kecil: Sivanesan
Maklumat yang tular di media sosial. Gambar kecil: Sivanesan
A
A
A

IPOH - Empat pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) disahkan dijangkiti Influenza A H1N1 selepas mengalami gejala demam dan batuk sejak 13 April lalu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, sebelum ini seramai 28 pelajar telah diisolasi dan empat sampel yang diambil disahkan positif Influenza A H1N1.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil tindakan-tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut.

"Ini termasuklah mengasingkan kes-kes yang bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab maklumat tular di Facebook kononnya lebih 100 pelajar sekolah itu diserang penyakit misteri selepas mengalami batuk, muntah dan demam.

Status yang dikongsi semalam itu turut menggesa tindakan lanjut dilakukan bagi meredakan kebimbangan ibu bapa.

Sivanesan berkata, sejak kes berkenaan dilaporkan sehingga semalam, seramai 79 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dan seorang guru dikesan mengalami gejala yang sama.

Katanya, dua daripada pelajar itu dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan dan pemantauan selepas mengalami komplikasi lain.

Artikel Berkaitan:

"Seorang daripadanya telah pun dibenarkan keluar hari ini, manakala bagi kes-kes lain mereka telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Beliau mengesahkan, kesemua kes adalah terkawal dan mangsa terlibat berada dalam keadaan stabil.

"Tiada yang perlu dikhuatiri kerana tindakan dan pencegahan awal telah pun dilakukan, kes ini juga telah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan.

"Orang ramai adalah disaran mendapatkan rawatan di klinik atau hospital dengan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan sakit tekak," katanya.