Tampar pemain: Tindakan terhadap jurulatih selepas siasatan selesai

Shanmugam (dua,kiri) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan di Bangunan Majlis Sultan Negeri (MSN) Melaka di Krubong, di sini, pada Rabu.
Shanmugam (dua,kiri) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan di Bangunan Majlis Sultan Negeri (MSN) Melaka di Krubong, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SEBARANG keputusan yang akan diambil terhadap jurulatih tampar pemain akan diputuskan selepas siasatan penuh dilakukan oleh Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, biarpun jurulatih tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan ibu bapa pemain yang terlibat turut memaafkan tindakan jurulatih itu, namun kes ini memerlukan perhatian serius agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

Menurutnya, dalam isu ini kerajaan negeri juga membuat siasatan selain KPM menerusi Unit Integriti yang menyiasat perkara itu susulan video tular berkenaan.

"Selain itu MAVA juga akan mengambil alih kes ini memandangkan ia melibatkan peringkat kebangsaan.

"Ini bermakna apa-apa tindakan diambil terhadap beliau hanya akan diputuskan oleh KPM kerana beliau seorang guru dan juga MAVA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan di Bangunan Majlis Sultan Negeri (MSN) Melaka di Krubong, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN negeri, Asri Ninggal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek berharap dan memohon perkara itu dapat dijernihkan semula dan tidak terus berlarutan dan orang ramai diminta tidak lagi menyebarkan video kontroversi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan emosi jurulatih yang terlibat malah secara tidak langsung memberi gangguan emosi kedua-dua pelajar perempuan berkenaan.

"Kerana video berkenaan menjadi tular mereka (ibu bapa pemain terlibat) mengakui perasaan mereka tersinggung dan mohon semua pihak untuk menghentikan penularan tersebut," katanya lagi.

Jelas beliau, MSN turut mengesyorkan jurulatih membuat permohonan maaf secara terbuka bagi memastikan isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan.

"Melaka dah selesai, selepas ini terpulang kepada KPM dan MAVA untuk ambil tindakan dan kita turut memberikan tiga syor kepada pihak berkenaan berhubung kes ini.

Termasuk jurulatih perlu meminta maaf kepada umum serta ibu bapa, kedua kedua mungkin sijil latihan beliau perlu ditahan untuk tempoh setahun atau dua tahun," ujarnya.