Lebih banyak pelaburan diperlukan untuk pastikan harga stabil

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

INFLASI Malaysia mungkin telah mencapai kemuncaknya sejajar dengan trend yang dilihat di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) walaupun harga barang masih lagi tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak pelaburan dalam item barang inflasi utama seperti rumah, makanan, pengangkutan dan tenaga agar harga boleh lebih stabil bagi tempoh jangka panjang.

"Menurunkan harga rumah agak rumit kerana ia melibatkan pelbagai pemegang kepentingan tetapi bukan bagi tiga item utama yang lain. Peningkatan penggunaan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) membantu, tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya saluran bagi menaik taraf teknologi,” katanya kepada Bernama.

Firdaos berkata, meskipun kerajaan menggalakkan persekitaran rendah tarif bagi mengurangkan terjemahan harga, halangan perdagangan di sempadan perlu telus atau dikurangkan bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam item Indeks Harga Penggunan (IHP) utama.

"Secara teorinya, pelaburan biasanya meningkat apabila cukai turun. Kita jarang mendengar tentang pelaburan yang memberi kesan kepada barang dan perkhidmatan yang kita guna setiap hari, jadi senario ini perlu diteliti dengan mendalam,” katanya sambil menambah gaji perlu dinaikkan seiring dengan peningkatan harga.

Beliau berkata, harga makanan di luar rumah didorong terutamanya oleh kualiti perkhidmatan yang sukar untuk dinilai.

Menurutnya, khidmat penghantaran makanan banyak membantu memudahkan kehidupan kita namun kita terpaksa membayar harga yang tinggi disebabkan tahap perkhidmatan yang lebih tinggi.

"Selain itu, pelabur dan pemilik perniagaan mungkin tidak berminat untuk menambah pelaburan dalam pembuatan dan prasarana apabila kos pinjaman meningkat pada paras yang belum pernah dilihat dalam tempoh beberapa dekad ini. Apatah lagi pelaburan dalam item bakul IHP utama.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun langkah agresif mengetatkan monetari mungkin membawa kepada inflasi rendah pada 2023, namun dunia mungkin sekali lagi berdepan dengan inflasi tolakan kos di tengah-tengah kejutan bekalan dan tarikan permintaan apabila gaji dan penduduk berkembang. Pelaburan, dengan tujuan untuk menambah baik produktiviti, dalam bidang-bidang utama ini tidak ada pengganti,” katanya.

Inflasi dijangka mereda pada 2023

Firdaos berkata, inflasi negara dijangka mereda pada bulan-bulan akan datang sejajar dengan kadar inflasi yang menyederhana seperti yang dilihat di AS dan UK walaupun ia belum lagi dapat diturunkan sepenuhnya.

Walaupun inflasi yang dijangka rendah pada 2023, beliau berkata, ia akan terus diberi perhatian atas dua alasan -- pertamanya, meskipun IHP menyederhana bagi asas tahun ke tahun, indeks itu sendiri (iaitu paras harga) akan berada dalam aliran tinggi.

"Kedua, berikutan pendirian agresif Rizab Persekutuan AS dalam membendung inflasi, IHP dan indeks perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) menurun tetapi masih berada di atas daripada kadar sasaran dua peratus. Senario yang sama dilihat di UK dan juga Kesatuan Eropah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kadar dasar bank-bank pusat utama ini dijangka kekal tinggi bagi tempoh jangka panjang dan senario itu akan memberi tekanan ke atas mata wang negara sedang pesat membangun yang seterusnya membawa kepada inflasi.

Menurut Firdaos, Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia Malaysia mungkin meningkat hampir kepada parasnya ketika sebelum pandemik pada 2023 di tengah-tengah kenaikan kadar dasar dan jurang hasil.

Kalangan pakar ekonomi berpandangan bahawa Bank Negara Malaysia akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas lagi kepada 3.25 peratus pada tahun ini di tengah-tengah jangkaan bahawa tekanan inflasi akan berkurangan.

Sementara itu, katanya, berikutan konflik ketenteraan Rusia-Ukraine yang masih berlarutan harga tenaga mungkin kekal meningkat pada 2023 sekali gus menyebabkan bank-bank pusat akan terus mengurangkan inflasi.

"Ia akan menjadi lebih rumit dengan pembukaan semula ekonomi China yang kelaknya akan mendorong permintaan tenaga yang lebih tinggi pada tahun akan datang,” katanya.

Campur tangan kerajaan untuk meredakan inflasi

Firdaos berkata, penggubal dasar menilai inflasi daripada paras harga dan tinjauan.

"Pakar ekonomi percaya bahawa inflasi mengurangkan pengangguran dan berhubung kait dengan kadar dasar. Secara ringkasnya, apabila inflasi tinggi, pengangguran rendah dan kadar dasar berkecenderungan untuk meningkat.

"Hubungan berbalik itu turut mempengaruhi. Justeru, tarikan permintaan dan tolakan kos merupakan dua kategori inflasi yang biasa,” katanya sambil memaklumkan bahawa kerajaan memantau harga dengan lebih teliti berbanding pendapatan.

Beliau berkata, inflasi global yang berlaku baru-baru ini adalah kombinasi daripada dua fenomena. Tarikan permintaan berlaku di tengah-tengah pemulihan pasaran buruh yang rancak pasca pandemik, manakala tolakan kos berpunca daripada harga tenaga tinggi yang berlaku hampir semalaman akibat konflik ketenteraan.

Pertukaran asing yang tidak memberangsangkan di tengah-tengah pengukuhan dolar AS telah menjejaskan semua, kecuali AS dan pada tahap tertentu Hong Kong dan Singapura. Semua perhatian tertumpu kepada campur tangan bank pusat apabila inflasi menjadi isu nasional.

"Kita sering terlepas pandang peranan dasar fiskal untuk meredakan inflasi. Antara sebabnya ialah dasar fiskal kelihatan lebih ‘terbatas’ berbanding dasar monetari. Tambahan pula apabila kerajaan tidak mempunyai rangsangan untuk mengimbangi kesan buruk pandemik.

"Satu lagi faktor ialah... tidak seperti kadar faedah, penggubalan dasar adalah sangat kompleks apabila menilai perspektif gaji/pendapatan kerana ia berbeza antara satu ekonomi dengan ekonomi yang lain.

"Mengurangkan cukai adalah sukar kerana cukai yang dilepaskan boleh menimbulkan lebih banyak masalah dalam keadaan kekangan pasaran buruh serta mungkin menjejaskan fungsi teras kerajaan apabila hasil merosot. Sebaliknya, meningkatkan cukai untuk mengawal pertumbuhan permintaan pula adalah tidak sesuai,” kata Firdaos.

Beliau berkata, apa yang wajar dilakukan adalah dengan mengharapkan bahawa dasar monetari dapat meredakan inflasi menerusi campur tangan dari segi permintaan. - Bernama