Pelantikan Farhash bertentangan dengan tata kelola yang baik

Khlir
Khlir
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd bertentangan dengan tata kelola yang baik dan memburukkan lagi pertalian perniagaan dan politik di negara ini, kata Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Noor.

Menurutnya, kesemua ini berlaku dalam masa sebulan lebih sahaja selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Ianya adalah pengetahuan umum bahawa Farhash adalah sekutu rapat Anwar Ibrahim dan juga bekas setiausaha politik beliau.

"Pelantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik di dalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong," katanya.

Beliau turut mempersoalkan janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk tata kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara?

"Pelantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda reformasi yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

"Kami menyeru Perdana Menteri untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baharu Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik.

Kata Khlir lagi, Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini.

Artikel Berkaitan:

"Apakah selepas ini Anwar akan memberitahu rakyat jika ada lagi pelantikan seperti ini, sama ada melibatkan Farhash atau sekutu-sekutu rapat beliau yang lain yang bakal diumumkan?

Sebelum ini, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa pada Selasa.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan Farhash menggantikan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi untuk meneruskan minat lain.