'Sabah, Sarawak sudah lama nantikan'

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A
KOTA KINABALU - Keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak sudah lama dinantikan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif yang dapat mempercepatkan program pembangunan Sabah.

Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah amat mengalu-alukan keputusan itu demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Ini bermakna kerajaan Persekutuan menyerahkan mandat penuh kepada kerajaan negeri untuk menentukan projek pembangunan yang akan dilaksanakannya sendiri.



"Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu, Bung Moktar turut berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan peruntukan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.
Artikel Berkaitan:


"Saya yakin Perdana Menteri akan sentiasa melihat wilayah Sabah sebagai sebuah wilayah yang penting untuk dibangunkan secara menyeluruh," katanya.

Sebelum itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan mana-mana projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Anwar menerusi satu sidang akhbar selepas dipersetujui oleh Kementerian Kewangan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).