Pantai Teluk Nipah 'hilang' tiga meter setahun

Kawasan pesisir pantai Teluk Nipah dikesan terhakis sehingga tiga meter setahun akibat hakisan ombak secara berterusan. - Foto 123RF
Kawasan pesisir pantai Teluk Nipah dikesan terhakis sehingga tiga meter setahun akibat hakisan ombak secara berterusan. - Foto 123RF
A
A
A

LUMUT - Kawasan pesisir pantai Teluk Nipah di sini dikesan terhakis sehingga tiga meter setahun akibat hakisan ombak secara berterusan, menurut kajian oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Ketua Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Yang Lestari Teluk Nipah UTP, Ts Dr Teh Hee Min berkata, langkah pengawalan hakisan di pantai itu perlu dilakukan segera sebelum ia merugikan semua pihak.

"Kajian kami mendapati hakisan pesisir pantai Teluk Nipah berlaku sejak 1990 cuma ia tidak ketara pada masa itu namun kini ia mendesak dan satu langkah pencegahan jangka panjang perlu diambil.

"Projek jangka masa panjang itu kelak akan memastikan masalah hakisan pantai yang serius di kawasan terbabit dapat diatasi kerana menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk pastikan kawasan penempatan, pelancongan, akuakultur, pertanian dan kawasan hutan pesisir pantai terus terpelihara, " katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTP, Prof Madya Ts Dr Noor Amila Wan Abdullah Zawawi, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Manjung Ir Mohd Shamimi Mohd Tahir dan Pengarah Hello Pangkor, Tan Wee Hoe.

Mohd Shamimi berkata, terdapat empat kawasan di bawah kategori satu dengan garis pesisir berada dalam keadaan hakisan dan tempat kemudahan atau infrastruktur berasaskan pesisir berada dalam bahaya keruntuhan atau kerosakan langsung iaitu Teluk Nipah, Teluk Dalam, Teluk Gedung dan Tanjung Kelawai yang menempatkan kira-kira 300 rumah nelayan di sekitarnya.

"Antara langkah proaktif dalam menjaga pesisiran pantai daripada terhakis adalah dengan membina 50 meter rock revetment (tembok batu).

"Sebuah pembangunan dijadikan bazar kepada para penjaja juga giat dijalankan bagi menempatkan mereka yang berniaga di sekitar bahu jalan ke tempat lebih selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, petugas rekreasi pantai atau beach boy Mohd Nor Azahari Ahmad Baddri, 40, berkata kejadian hakisan pesisir pantai di Teluk Giam berlaku sejak sebelum 2019 lagi.

"Tahun 2019 sudah mula runtuh dan pasir sudah sedikit demi sedikit ditarik. Hakisan semula jadi pula berlaku sejak sebelum itu lagi namun tidak ketara macam sekarang.

"Ini sudah masuk kali ketiga projek bagi menempatkan batu di pesisir pantai namun kejadian tersebut masih berulang iaitu hakisan telah berlaku dalam masa lebih kurang lima tahun untuk kali pertama dan kali kedua seawal setahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sekitar Teluk Giam.

Mohd Nor Azahari yang berpengalaman 13 tahun sebagai beach boy turut meminta agar pihak berkuasa terlibat menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

"Sebahagian daripada kami tidak berniaga di sini dan hanya meletakkan peralatan sukan air antaranya ski jet dan pelampung sebagai stor menyimpan barang namun jika tidak dilakukan dari sekarang, sedikit demi sedikit pembangunan di sini akan musnah.

"Kami tidak mempunyai masalah untuk berpindah jika diberikan tempat yang sesuai dan berhampiran. Kalau boleh kami mahu lokasi berhampiran dengan pantai bagi memudahkan para peniaga untuk berniaga,” katanya. - Bernama