Ahmad Zahid minta ilmuwan kongsi kepakaran

Zahid (tiga dari kanan) ketika meraikan delegasi Majlis Profesor Negara pada Selasa.
Zahid (tiga dari kanan) ketika meraikan delegasi Majlis Profesor Negara pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan ilmuwan di negara ini diajak untuk turut serta berkongsi kepakaran dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian itu umpama satu 'koridor baharu' dalam usaha mendapatkan input yang diperlukan demi kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, hari ini (Selasa) saya berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari Majlis Profesor Negara (MPN) yang diketuai oleh Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, selaku Pengerusi MPN.

“Lebih dua jam kami sama-sama berbincang dan melihat sisi kerjasama yang boleh dijalinkan.

“Pastinya, dengan kepakaran ilmuwan dan kluster yang wujud di bawah MPN, banyak data, kajian, penyelidikan dan idea yang mampu diangkat untuk pembangunan negara bangsa.

“Saya juga mengajak para ilmuwan yang bernaung di bawah MPN untuk turut bersama dalam membantu dan memberikan kepakaran mereka dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam coretan di Facebook pada Selasa.

Ahmad Zahid turut mengharapkan sesi perkongsian dan meraikan pendapat daripada para ilmuwan itu akan terus diadakan.

“Dalam rentetan perbincangan, isu utama yang diangkat menjurus kepada isu pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melibatkan sektor pendidikan khususnya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Artikel Berkaitan:

“Saya menyambut baik cadangan yang diberikan dan akan memastikan agensi di bawah KKDW akan terus diupayakan khususnya dalam sektor TVET. Insya-ALLAH kita berjumpa pada sesi yang akan datang,” ujar beliau.