UMNO pinda Perlembagaan parti selaras Akta Anti Lompat Parti

Ahmad ketika sidang akhbar PAU di Menara Dato’ Onn pada Selasa.
Ahmad ketika sidang akhbar PAU di Menara Dato’ Onn pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO akan meminda Perlembagaan parti untuk diselaraskan dengan perlaksanaan peraturan Akta Anti Lompat Parti melalui Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, satu perhimpunan khas akan diadakan pada 13 Januari ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan bagi meminda perkara berkenaan.

“Sebelum ini elemen gugur keahlian tidak berkaitan dengan Akta Lompat Parti, jadi apa yang kita nak buat (adalah) supaya ia selaras dengan akta berkenaan.

“Maka kita akan masukkan elemen akta tersebut bagi pengguguran ahli apabila mereka keluar parti, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti,” katanya pada sidang akhbar mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Menara Dato’ Onn pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan, turut dipinda adalah pertambahan perwakilan pada PAU kali ini yang mana ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam perhimpunan tahunan itu.

"Perhimpunan khas itu juga membolehkan Ketua Penerangan Bahagian secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun, membabitkan pindaan pada Fasal 8.4," jelasnya.

Ahmad sebelum ini dilapor berkata, pindaan dua fasal Perlembagaan parti itu akan dibentangkan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pembentangan pindaan berkenaan dijadualkan bermula pada jam 11.30 pagi selepas selesai ucapan dasar Presiden.

Artikel Berkaitan: