[VIDEO] Dua penyamun bersenjata pistol diberkas

Mohd Suhaily (dua dari kanan) menunjukkan parang manakala Rahimi (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
Mohd Suhaily (dua dari kanan) menunjukkan parang manakala Rahimi (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi hingga lewat malam sebelum samun wang tunai dan telefon bimbit milik pekerja, itu modus operandi digunakan dua lelaki yang aktif melakukan samun bersenjata di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sejak awal Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah mereka berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan berasingan pada malam ambang tahun baharu di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang susulan kejadian samun kedai serbaneka yang berlaku di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 10 malam itu, suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan tembakan sebelum melarikan wang hasil jualan dan telefon bimbit pekerja kedai berkenaan.

"Ketika kejadian terdapat dua pekerja di kedai serbaneka itu namun tembakan yang dilepaskan suspek tidak terkena pada mereka.

"Bertindak daripada laporan yang diterima, kita melancarkan operasi khas bagi mengesan suspek dan akhirnya membawa kepada tangkapan di dua lokasi berbeza pada Ahad lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Selasa.

Mohd Suhaily (kiri) menunjukkan foto suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjata manakala Rahimi (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas.
Mohd Suhaily (kiri) menunjukkan foto suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjata manakala Rahimi (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais dan Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San.

Artikel Berkaitan:

Mohd Suhaily berkata, hasil daripada tangkapan itu polis merampas sepucuk pistol bersama dua kelongsong serta tiga butir peluru, sebilah parang dan dua telefon bimbit.

Katanya, turut dirampas dua buah motosikal, sebuah kereta, empat topi keledar dan pakaian daripada kedua-dua suspek.

"Dengan tumpasnya dua suspek berusia 26 dan 30 tahun ini kita berjaya menyelesaikan enam kes samun bersenjata api yang berlaku di sekitar SPT.

"Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes samun dan dadah kini direman selama enam hari untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum gantung sampai mati dan Seksyen 8 akta yang sama.