Penduduk terganggu operasi tapak pengumpulan pasir, balak

Lokasi tapak pengumpulan pasir yang didakwa tidak sesuai kerana terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk. Gambar kecil: Rokiah, Zahari, Wan Nazrirul
Lokasi tapak pengumpulan pasir yang didakwa tidak sesuai kerana terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk. Gambar kecil: Rokiah, Zahari, Wan Nazrirul
A
A
A

KUANTAN - Kehidupan seharian penduduk Kampung Bukit Palas, Cherating di sini terganggu ekoran kewujudan tapak pengumpulan pasir dan balak di kawasan itu sejak lebih dua bulan lalu.

Penduduk mendakwa, kedudukan tapak pengumpulan pasir dipercayai untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terlalu hampir dengan rumah sehingga mengganggu aktiviti seharian selain merisikokan keselamatan dan kesihatan mereka.

Memburukkan lagi keadaan, berlaku kerosakan jalan akibat aktiviti lori memunggah pasir dan balak yang keluar masuk saban hari.

Salah seorang penduduk, Rokiah Yusof, 64, berkata, kehidupannya dan keluarga menjadi kurang selesa selepas tapak pengumpulan pasir yang terletak tidak jauh dari rumahnya mula beroperasi.

Tapak pengumpulan pasir yang tidak dipagar sempurna menimbulkan masalah kepada penduduk yang tinggal berhampiran.
Tapak pengumpulan pasir yang tidak dipagar sempurna menimbulkan masalah kepada penduduk yang tinggal berhampiran.

Menurutnya, masalah debu yang berlaku menyebabkan dia dan keluarga tidak dapat menjalankan aktiviti di luar rumah seperti biasa.

"Saya tinggal bersama anak dan cucu yang masih kecil, jadi keadaan ini benar-benar mengganggu lebih-lebih lagi ada di antara mereka menghidap asma.

"Baru dua bulan sudah timbul masalah, bagaimana kami hendak berhadapan keadaan ini jika tempoh operasi tapak ini dikatakan sehingga dua tahun," katanya yang tinggal di kampung itu sejak 50 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi seorang lagi penduduk, Zahari Noor Embong, 54, dia dan penduduk tidak menghalang aktiviti tapak pengumpulan pasir dan balak di kawasan itu sekiranya diuruskan mengikut syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Lori membawa pasir dalam keadaan tidak bertutup antara isu yang diadukan penduduk.
Lori membawa pasir dalam keadaan tidak bertutup antara isu yang diadukan penduduk.

Pekerja sebuah syarikat minyak dan gas itu mendakwa, kedudukan tapak itu tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan rumah penduduk.

"Saya khuatir apabila tapak itu tiada dinding penghadang yang sempurna kecuali hanya memasang jaring yang dilihat tidak mampu menghalang debu ke kawasan rumah penduduk.

"Selain itu, aktiviti lori keluar masuk juga mendatangkan risiko kepada penduduk yang berkongsi laluan sama," katanya.

Zahari berkata, kedudukan tapak pengumpulan balak di tepi jalan juga turut mendatangkan kebimbangan penduduk.

Keadaan jalan yang berpasir boleh mendatangkan risiko kepada pengguna terutama penunggang motosikal.
Keadaan jalan yang berpasir boleh mendatangkan risiko kepada pengguna terutama penunggang motosikal.

"Kami bimbang balak yang dilonggokkan agak tinggi itu tergolek ke arah jalan dan boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Selain itu, lori-lori balak yang menunggu mengisi muatan juga mengganggu lalu lintas di kawasan itu," ujarnya.

Bagi Wan Nazrirul Wan Mohd, 30, keadaan jalan di kawasan itu amat berisiko kepada pengguna terutama penunggang motosikal.

Katanya, keadaan jalan yang berpasir, tidak rata dan pecah amat bahaya kepada keselamatan penduduk.

Tapak pengumpulan balak di Kampung Bukit Palas.
Tapak pengumpulan balak di Kampung Bukit Palas.

"Kami dapati lori membawa pasir tidak bertutup sehingga tumpah ke atas jalan.

"Bayangkan jika lori itu dipandu laju dan ada motosikal mengekori dari belakang, pasti ada pasir berterbangan dan terkena penunggang, bahaya.

"Itu belum lagi bahaya jalan rosak, jalan berpasir dan licin yang boleh menyebabkan kemalangan pada bila-bila masa," kata pengawal keselamatan itu.

Wan Nazrirul berkata, memandangkan sesi persekolahan telah dibuka, keadaan itu turut mengundang kebimbangan ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak di sekolah setiap hari.

Penduduk bimbang balak yang dilonggokkan tergolek ke arah jalan dan boleh mengancam keselamatan pengguna.
Penduduk bimbang balak yang dilonggokkan tergolek ke arah jalan dan boleh mengancam keselamatan pengguna.

Masalah yang dihadapi penduduk itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang turun padang bertemu dan berbincang dengan wakil pengusaha pasir dan balak itu pada Selasa.

Andansura berkata, hasil perbincangan itu positif apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil langkah tambahan bagi menyelesaikan masalah penduduk tersebut.

"Hasil perbincangan hari ini, wakil syarikat pasir bersetuju untuk memasang dinding penghadang lebih tinggi bagi menghalang debu ke rumah penduduk selain memperkemaskan operasi di tapak pengumpulan.

"Mereka juga berjanji akan membaiki jalan yang rosak dan memastikan pasir yang dibawa bertutup bagi mengelak tumpah ke atas jalan.

Andansura (empat dari kanan) dan penduduk mengadakan perbincangan bersama wakil pengusaha pasir dan balak di lokasi tapak pengumpulan di Kampung Bukit Palas, Cherating pada Selasa.
Andansura (empat dari kanan) dan penduduk mengadakan perbincangan bersama wakil pengusaha pasir dan balak di lokasi tapak pengumpulan di Kampung Bukit Palas, Cherating pada Selasa.

"Pada masa sama, pihak syarikat memberi jaminan operasi lori keluar masuk mengikut tempoh waktu ditetapkan dan arahan akan dikeluarkan kepada pemandu agar tidak membawa laju dalam kawasan kampung," katanya.

Tambah beliau, pihak syarikat balak juga bersetuju untuk mengambil langkah sama dengan meningkatkan aspek keselamatan di tapak milik mereka itu selain membaiki jalan yang rosak.

"Saya difahamkan operasi syarikat balak ini akan selesai dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi namun dalam tempoh itu, mereka bersetuju untuk mengambil langkah-langkah tambahan demi kepentingan kedua-dua pihak.

"Saya juga akan bertemu dan berbincang dengan pihak-pihak lain yang turut menggunakan laluan berkenaan," katanya.