Setiap negara disaran namakan stadium sempena Pele

Infantino (kanan) mahu setiap negara mengenang kehebatan Pele.
Infantino (kanan) mahu setiap negara mengenang kehebatan Pele.
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menyarankan setiap negara agar menamakan sebuah stadium bersempena nama Pele sebagai penghormatan kepada legenda Brazil itu.

Pele - satu-satunya pemain yang berjaya meraih gelaran juara Piala Dunia sebanyak tiga kali meninggal dunia di Sao Paulo minggu lalu pada usia 82 tahun.

“Kami akan meminta setiap negara di dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu stadium bersempena nama Pele. Ia supaya kanak-kanak tahu kepentingan Pele,” katanya.

Gesaan Infantino itu hadir ketika ribuan peminat berhimpun di Stadium Vila Belmiro milik Santos bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Pele pada Selasa.

Kerandanya diletakkan di tengah padang bagi membolehkan peminat memberikan penghormatan dalam tempoh 24 jam sebelum perarakan di jalan sekitar Santos.

Menamakan gelanggang sukan dengan nama bekas pemain bukanlah perkara asing, antaranya ialah Arena Puskas Hungary dan Arena Johan Cruyff di Amsterdam.

Kelab Serie A, Napoli pula menamakan semula gelanggang keramat mereka sebagai Stadio Diego Armando Maradona bagi mengenang jasa legenda Argentina itu selepas kematiannya pada 2020.

Stadium Piala Dunia Gwangju di Korea Selatan pula dinamakan sempena jurulatih Belanda, Guus Hiddink yang membawa pasukan kebangsaan negara itu ke tempat keempat Piala Dunia 2004.

Artikel Berkaitan: