Kesalahan hiasan ayat al-Quran, usah salahkan peniaga sahaja

Norasikin menunjukkan hiasan ayat al-Quran yang dijual di kedainya.
Norasikin menunjukkan hiasan ayat al-Quran yang dijual di kedainya.
A
A
A

NILAI - Peniaga perhiasan ayat al-Quran di Kawasan Perindustrian Nilai 3 di sini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan di semua peringkat berhubung kesalahan ayat al-Quran yang dijual di pasaran.

Peniaga mendakwa kecacatan itu biasanya dikesan pada perhiasan ayat al-Quran yang diimport dari negara China.

Pekerja sebuah kedai hiasan al-Quran di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Noraskin Ahmad, 47, berkata, dia bukannya mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi berpendapat kesalahan itu mungkin bermula dari peringkat pengilang.

Katanya, sebagai peniaga dia mengakui tidak begitu arif soal ayat al-Quran tetapi majikannya yang berasal dari negara Arab akan menyemak terlebih dahulu setiap perhiasan ayat al-Quran yang dijual di kedainya.

"Bos saya orang Mesir, jadi dia sangat arif tentang ayat al-Quran. Dia akan semak dengan tertib bagi memastikan tiada huruf dan baris yang tertinggal.

"Soal ada kesilapan pada ayat al-Quran itu, bagi saya jangan menuding jari pada peniaga sahaja, mungkin kesilapan itu datangnya dari kilang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, perhiasan ayat al-Quran yang berada di pasaran diambil dari banyak tempat tetapi yang selalu berlaku kesilapan adalah dari negara China.

Oleh sebab itu katanya, premisnya tidak mengambil perhiasan tersebut dari negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Perhiasan ayat al-Quran di kedai kami dihasilkan di negara ini dan ada juga diimport dari Indonesia.

"Tapi tulisan ayat al-Quran ini ada pelbagai jenis tetapi yang jelasnya Rasm Uthmani," katanya.

Kata Norasikin, pelanggan yang datang ke kedainya juga sangat teliti dan biasanya mereka akan mengambil masa berjam-jam untuk menyemak terlebih dahulu ayat al-Quran yang akan dibeli.

Roshan
Roshan

Sementara itu pekerja warga Pakistan, Roshan Khan, 36, berkata, dia tidak pasti perhiasan ayat al-Quran yang dijual di kedainya diambil dari mana kerana diuruskan oleh majikannya.

Bagaimanapun katanya, kesemua barang yang diambil akan diperiksa terlebih dahulu oleh majikannya bagi memastikan tiada kesilapan.

"Biasanya pelanggan kami pun akan semak dulu perhiasan yang mereka mahu beli. Saya pun tahu ayat al-Quran jika ada sikit kesilapan pun tak boleh," katanya.

Pengurus kedai perhiasan ayat al-Quran, Ahmad Badawi Qud, 40, berkata, sebagai orang yang berasal dari negara Mesir, dia arif berkenaan ayat al-Quran dan sangat menghormatinya.

Ahmad menunjukkan perhiasan ayat al-Quran yang ditemui dibuang dan telah dibaik pulih.
Ahmad menunjukkan perhiasan ayat al-Quran yang ditemui dibuang dan telah dibaik pulih.

Oleh sebab itu katanya, dia tidak boleh menerima insiden longgokan perhiasan ayat al-Quran yang ditemui di tepi jalan baru-baru ini.

"Jika saya jumpa, saya akan ambil hiasan ayat al-Quran itu dan baik pulihnya di kedai sebelum dijadikan sebagai cenderahati kepada pelanggan.

"Saya tidak sampai hati membiarkan ia begitu saja kerana apa saja yang ada ayat al-Quran perlu dihormati dan di kedai kami pula, kita akan semak dan pastikan semua ayat al-Quran dijual adalah tepat," katanya.