Dakwaan Shahidan berniat jahat - Mohd Sany

Mohamad Sany Hamzan
Mohamad Sany Hamzan
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang disifatkan satu tuduhan melulu dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, Kerajaan Perpaduan yang ada ini hanya baru sebulan lebih dibentuk dan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Beliau juga membangkitkan persoalan terhadap kenyataan dibuat Shahidan tentang keputusan kerajaan itu.

"Saya ingin tanya Shahidan, bila pula kerajaan membuat keputusan mengenai perkara ini.

"Belanjawan pun hanya sebahagian dari peruntukan sahaja dibentangkan untuk membolehkan gaji kakitangan kerajaan dibayar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shahidan sebelum ini mendakwa Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Menurut laporan media, Shahidan menyifatkan tindakan tersebut tidak adil kepada ahli Parlimen pembangkang.

Dalam pada itu, Mohd Sany beranggapan kenyataan dibuat Shahidan itu hanya ingin 'memancing' sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Saya beranggapan kenyataan Shahidan itu hanya ingin memancing sahaja iaitu untuk menekan Kerajaan Perpaduan agar mereka diberikan peruntukan sama dengan wakil rakyat kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti.

"Oleh itu, saya ucapkan 'selamat memancing' dan selamat mencuba kepada YB Arau," sindirnya.