Akta 244 tidak boleh atasi Akta Kerja 1955 (2022) - Finas

Md Nasir Ibrahim
Md Nasir Ibrahim
A
A
A
KUALA LUMPUR - Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan pada Isnin berkata, perkara itu sekali gus tidak memberi kuasa perundangan kepada Finas berhubung isu lebih masa yang melibatkan penggiat seni.

"Maka, pandangan bahawa Finas mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataupun menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali malah ia bercanggah dari segi undang-undang.

"Adalah diharapkan kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa Finas dalam isu berkaitan kerja lebih masa melibatkan penggiat seni terutama para pelakon dan kru produksi penggambaran ini dapat diperbetulkan dengan penjelasan ini,” katanya selepas mengambil maklum mengenai isu itu yang tular di media sosial baru-baru ini.



Beliau berkata, kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 itu juga terpakai kepada penggiat industri filem yang terlibat dengan penggambaran melibatkan para pelakon dan kru produksi.

Md Nasir turut berharap agar penggiat industri tersebut cakna dengan pindaan terkini berhubung akta itu agar tiada salah faham timbul antara majikan dan pekerja.

Katanya, ketetapan jumlah waktu bekerja yang telah dipersetujui dan ditetapkan menurut terma dan syarat kontrak antara majikan (penerbit) dan pekerja (pelakon serta kru produksi) hendaklah dipatuhi sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun, beliau berkata, Finas akan mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam hal berkenaan serta berhasrat untuk mengundang wakil-wakil persatuan perfileman seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan entiti pemegang taruh berkepentingan bagi membincangkan mengenai isu itu dalam masa terdekat.

"Finas juga bersedia dan terbuka menerima sebarang kritikan dan juga cadangan membina daripada semua pihak bagi memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja industri perfileman negara sentiasa terbela dan dilindungi,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar memaklumkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023 susulan terdapat keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan meskipun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.
Artikel Berkaitan:


Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan. - Bernama