[VIDEO] Jurulatih tampar pemain: KPM tak kompromi, mohon saksi tampil

Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Kanan: Fadhlina)
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Kanan: Fadhlina)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap tindakan individu dipercayai jurulatih yang menampar dua pemain bola tampar perempuan dalam satu video tular baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

“Laporan penuh menyusul dan KPM mohon saksi untuk tampil beri keterangan.

“Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan mengenai satu video tular memaparkan tindakan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar yang menampar pemainnya.

Kejadian itu difahamkan berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Dalam video yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook itu, jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

Insiden berkenaan turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Ahad yang mengecam tindakan individu tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan salah.

Artikel Berkaitan: