254 saman, 22 motosikal disita pagi tahun baharu

Ahmad Shukri (kiri) turut serta dalam Op Samseng di Jalan Pegawai pada awal pagi Ahad. - Foto Ihsan PDRM
Ahmad Shukri (kiri) turut serta dalam Op Samseng di Jalan Pegawai pada awal pagi Ahad. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 254 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi Op Samseng yang melibatkan kumpulan remaja menyambut tahun baharu di Jalan Pegawai, dekat sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, 22 buah motosikal juga disita atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai, penunggang tiada lesen dan motosikal curi.

Menurutnya, kumpulan remaja itu menyambut tahun baharu dengan membakar mercun dan bunga api di jalanan termasuk berlumba haram di kawasan tersebut.

"Polis menumpukan kepada dua kawasan samseng jalan raya dan operasi bermula pada jam 11 malam pada Sabtu.

"Kita buat pemantauan sekitar jalan Pegawai ini dan kita masuk ke lokasi pada jam 1 pagi dan operasi bermula pada jam 3 pagi. Hasilnya kita telah menahan 300 ke 400 buah motosikal," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sebahagian penunggang dan motosikal dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada pagi Ahad untuk pemeriksaan. - Foto Ihsan PDRM
Sebahagian penunggang dan motosikal dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada pagi Ahad untuk pemeriksaan. - Foto Ihsan PDRM

Operasi tersebut berakhir jam 8 pagi melibatkan empat pegawai dan 60 anggota termasuk anggota bantuan.

Ahmad Shukri berkata, anggota polis turut membuat intipan hampir satu jam di lokasi sebelum operasi bermula dan mendapati kumpulan remaja itu mula memenuhi kiri dan kanan di Jalan Pegawai dengan bertindak liar.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kumpulan tersebut tidak menyedari kehadiran anggota dalam kumpulan pelumba itu yang melakukan penyamaran turut berlumba bersama.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 342 buah motosikal dan kereta ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota polis yang bertugas.