Baru pertama kali cuba, dah kena cekup

Penguatkuasa JHEAINS bertanya sesuatu kepada tiga lelaki beragama Islam yang ditahan kerana minum minuman keras.
Penguatkuasa JHEAINS bertanya sesuatu kepada tiga lelaki beragama Islam yang ditahan kerana minum minuman keras.
A
A
A

NILAI - Seorang remaja lelaki antara sembilan individu beragama Islam yang ditahan oleh Jabatan Agam Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) apabila tanpa segan silu mencuba minuman keras soju dalam pemeriksaan sempena ambang tahun baharu di pusat hiburan di sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

Dia yang berusia 22 tahun itu mendakwa datang ke pusat hiburan terbabit bersama seorang rakan untuk menyambut tahun baharu sambil 'minum-minum', namun tidak menyangka 'dicekup'.

Kalau ibu bapa tahu saya pergi pusat hiburan dan 'minum' ini mesti mereka marah. Tadi sebelum keluar, saya hanya beritahu hendak melepak dengan kawan.

"Saya datang sini nak cuba minuman sojo kerana kawan nak belanja. Saya tahu ia boleh mabuk, tapi setakat ini saya ok saja dan ia tidaklah sekuat minum arak," katanya kepada media.

Selain itu dua wanita berusia 23 dan 29 tahun yang berasal dari Sarawak turut ditahan selepas didapati positif minuman keras.

Mereka yang bekerja di sebuah hotel mendakwa datang ke situ untuk melepak sambil minum sempena tahun baharu.

Pegawai JHEAINS memeriksa kandungan alkohol seorang pelanggan wanita beragama Islam.
Pegawai JHEAINS memeriksa kandungan alkohol seorang pelanggan wanita beragama Islam.

Sementara itu Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, kesemua yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu berusia lingkungan 20-an hingga 31 tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, hasil risikan yang dilakukan, pihaknya mendapati pusat hiburan terbabit sememangnya menjadi 'port' individu beragama Islam melepak atau berhibur.

"Saya hendak nasihatkan golongan muda khususnya berhati-hati dalam berhibur, jangan terjebak dengan minuman keras.

"Mungkin ada kata minum arak ini adalah 'simple', tapi implikasinya besar kerana ia boleh memabukkan dan boleh mengundang kepada perkara lain," katanya.

Beliau juga menegaskan, apa saja jenis minuman yang mengandungi kandungan alkohol walaupun dalam jumlah yang sedikit ia tetap menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang syariah.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di Seremban bagi tindakan lanjut.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana minum minuman yang memabukkan," katanya.