Projek pembangunan integrasi di Pulau Bunting mula tahun depan

Muhammad Sanusi - Foto Bernama
Muhammad Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Pembangunan Berintegrasi Bekalan Gas dan Loji Janakuasa serta hab kapal ke kapal (STS) di Pulau Bunting, Yan akan dimulakan tahun depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek dengan nilai pembangunan keseluruhannya sebanyak kira-kira RM14 bilion diyakini akan mampu melonjak ekonomi negeri Kedah secara drastik apabila siap kelak.

"Dalam masa sama, projek-projek pembangunan lain akan terus diberikan tumpuan khususnya di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam serta Bandaraya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap sedang menjadi perhatian komuniti pelabur dalam dan luar negara.

"Kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) juga sedang diperluaskan bagi memenuhi permintaan pihak industri yang semakin meningkat.

"Selain itu, kita juga sedang mempersiapkan pembukaan sebuah kawasan perindustrian baharu, Gurun Industrial Smart Park (GISP) di Gurun," katanya dalam perutusan bersempena Tahun Baharu 2023 pada Sabtu.

Muhammad Sanusi menyifatkan kesemua usaha itu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Kedah khususnya menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan.

"Mudah-mudahan ALLAH SWT akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah bagi kita semua pada tahun baharu ini.

"Sama-samalah kita doa agar negeri ini akan terus diberkati dalam misi mencapai gagasan 'Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni' menjelang tahun 2035," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, projek mega Kedah Aerotropolis yang antara komponennya termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) juga sudah mempunyai pelabur baharu.

Menurutnya, Kedah Aerotropolis yang antara lain menempatkan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing (SLAM) akan menjadi hab operasi MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) industri penerbangan bagi seluruh rantau Asia Tenggara.

"Dalam tempoh yang singkat pasca pandemik, kita juga telah dipermudahkan oleh ALLAH SWT untuk menerima masuk pelaburan dari dalam dan luar negara dengan nilai yang amat luar biasa," katanya.

Menurutnya, Kedah menerima pelaburan sebanyak RM68.3 bilion pada tahun 2021 dan RM9.7 bilion pada separuh pertama tahun 2022 dalam keadaan ekonomi global masih merangkak dalam fasa pemulihan, sekali gus ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

"Ini menggambarkan keyakinan komuniti pemodal terhadap pentadbiran negeri Kedah, dan bagi kita, ini penting untuk kelestarian ekonomi negeri dalam jangka panjang," katanya.