Mayat tangan, kaki berikat ditemui tepi jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Satu mayat ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang di sini, pada Jumaat dalam keadaan tangan dan kaki berikat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11.40 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan dibantu Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

"Pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tangan dan kaki telah diikat dengan tali selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa yang lengkap berbaju T dan seluar pendek warna hitam itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Katanya, suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222 atau 019-2579232.