PH gagal tadbir negara: Shamsul Anuar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin meminta rakyat memberi tempoh enam bulan lagi bagi kerajaan memulihkan negara membuktikan PH gagal mentadbir negara sebagaimana sepatutnya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kenyataan itu juga menunjukkan CEP gagal mengemukakan formula terbaik menguruskan ekonomi negara kepada kerajaan.

Menurutnya, rakyat sudah mula menerima kesan daripada kegagalan pentadbiran PH dan sepatutnya kerajaan segera menyelesaikan masalah rakyat terutamanya berkaitan kenaikan kos sara hidup dan kekurangan bantuan kebajikan.

“Pelaburan masuk ke negara ini juga seakan tiada malah berlaku pengaliran keluar dana asing daripada negara ini. Jika tempoh enam bulan lagi diperlukan pasti kesan lebih besar pada rakyat dan negara akan berlaku.

“Selepas 9 Mei 2018, tidak banyak janji yang berjaya dilaksanakan kerajaan PH melainkan melaksanakan semula banyak dasar atau program yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang dikritik hebat oleh PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lenggong itu turut menyifatkan kerajaan PH sebagai ‘kerajaan yang suka memungkiri janji’ dan gemar berdolak-dalik dalam percakapannya.

“Daripada berjanji akan tunaikan janji dalam masa sehari, kemudian tukar kepada tidak perlu tunai janji menggambarkan Kerajaan PH adalah kerajaan yang suka memungkiri janji.

“Kemudian meminta lagi tempoh enam bulan untuk melaksanakannya, ia adalah suatu yang tidak boleh diterima. Pimpinan dan kerajaan PH diharap menghormati daya intelektual rakyat kerana rakyat sudah bijak, boleh menilai tindakan dilakukan kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Anuar turut mempersoalkan adakah kerajaan akan sekali lagi meminta lebih masa sekiranya masih gagal menunaikan janjinya selepas enam bulan.

“Bayangkan kalau selepas enam bulan nanti, janji-janji itu tidak dapat dilaksanakan, apakah selepas itu PH akan meminta tempoh enam bulan lagi dan enam bulan lagi?

“Adakah rakyat akan terus ditipu?” soal beliau.

Kelmarin, Daim berkata kerajaan memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu.