Perak syor wujud skim khas atlet cemerlang sukan, akademik

Saarani menyampaikan dana pendidikan berjumlah RM600,000 daripada kerajaan negeri kepada Muhammad Azeem.
Saarani menyampaikan dana pendidikan berjumlah RM600,000 daripada kerajaan negeri kepada Muhammad Azeem.
A
A
A

IPOH - Perak bercadang mewujudkan skim khas kepada atlet kelahiran negeri itu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan dan akademik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, skim berkenaan penting diwujudkan sebagai keprihatinan kerajaan negeri terhadap usaha keras atlet dalam kedua-dua bidang.

"Jika mewujudkan skim khas bagi atlet ini adalah keperluannya dan boleh membantu kecemerlangan atlet kita, mengapa tidak. Kita akan bincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Jumaat.

Dalam majlis itu, Muhammad Azeem, 18, menerima dana pendidikan berjumlah RM600,000 bagi membiayai pengajian ke Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat.

Insentif kemenangan sebanyak RM100,000 kepada Pasukan Hoki Lelaki Negeri Perak pula disampaikan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-60 2022.

Saarani berkata, sumbangan dana pendidikan kepada pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu bukanlah satu bentuk hadiah atas kecemerlangannya dalam sukan semata-mata.

"Sebab utamanya kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara yang turut mempunyai kemudahan dan fasiliti bagi meningkatkan kecemerlangannya dalam bidang sukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Azeem memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan mencatatkan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos lepas.

Kini anak kelahiran Teluk Intan yang memperolehi keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyasarkan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary dan Sukan Olimpik Paris 2024.