Azam kurus elak bahaya obesiti

Bercakap soal azam tahun baharu, salah satu yang paling popular adalah azam untuk berdiet dan menguruskan badan. Foto 123RF
Bercakap soal azam tahun baharu, salah satu yang paling popular adalah azam untuk berdiet dan menguruskan badan. Foto 123RF
A
A
A

PERJALANAN 365 hari tahun 2022 kini semakin menuju penamatnya dan pada Ahad, kita bakal menyambut kedatangan tahun baharu 2023.

Seperti kebiasaan, setiap kali tahun baharu menjengah, kita semua pasti bersemangat ‘mencipta’ azam dan cita-cita baharu untuk direalisasikan.

Bercakap soal azam tahun baharu, salah satu yang paling popular adalah azam untuk berdiet dan menguruskan badan.

Namun, harus diakui azam yang satu ini sering membuatkan ramai kecundang termasuk penulis sendiri. Nawaitu untuk menguruskan badan sebenarnya bukan sekadar untuk tampil lebih menarik, sebaliknya jauh lebih penting adalah untuk menjaga kesihatan diri.

Banyak kajian mendedahkan Malaysia merupakan negara paling tinggi tahap obesiti di Asia Tenggara dan ia bukan perkara yang harus dibanggakan, sebaliknya perlu dibimbangi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berat badan berlebihan dan obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Badan kesihatan dunia itu turut menyatakan lebih daripada satu bilion orang di seluruh dunia mengalami masalah obesiti. Jumlah itu termasuk 650 juta orang dewasa, 340 juta remaja dan 39 juta kanak-kanak.

Malangnya, jumlah yang mengerikan itu terus meningkat saban tahun dan WHO menganggarkan menjelang tahun 2025, kira-kira 167 juta orang (dewasa dan kanak-kanak) akan mengalami masalah kesihatan berikutan berat badan berlebihan atau obes.

Artikel Berkaitan:

Penyebab utama obesiti dan berat badan berlebihan adalah ketidakseimbangan tenaga antara kalori yang diambil dan digunakan.

Di peringkat global, kita menyaksikan peningkatan pengambilan makanan padat tenaga yang tinggi kandungan lemak dan gula.

Malah, di Malaysia sendiri, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 telah melaporkan bahawa rakyat negara ini mengambil tiga sudu teh gula setiap hari dalam minuman disediakan sendiri seperti kopi dan teh.

Enam sudu teh gula setiap hari dalam minuman berkarbonat dan tidak berkarbonat serta tiga sudu teh gula setiap hari dalam minuman pracampuran seperti minuman 3-dalam-1.

Persekitaran kerja

Selain itu, satu lagi penyumbang kepada isu obesiti adalah ketidakaktifan fizikal, antaranya disebabkan persekitaran kerja urban dan moden yang tidak memerlukan banyak pergerakan, selain duduk menghadap skrin komputer.

Umum tahu, isu obesiti dan berat badan berlebihan bukan isu baharu, sebaliknya sudah menjadi klise, namun bahaya yang dibawa tidak dapat dinafikan.

Ia merupakan penyakit yang boleh memberi kesan buruk terhadap banyak sistem badan, antara lain boleh menjejaskan jantung, hati, buah pinggang, sendi dan juga sistem pembiakan.

Obesiti turut mengundang pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, hipertensi dan strok, pelbagai jenis kanser serta isu kesihatan mental.

Individu obes juga adalah tiga kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital sekiranya dijangkiti Covid-19.

Kunci kepada menangani obesiti adalah mewujudkan persekitaran atau gaya hidup di mana semua orang dapat mengakses diet pemakanan yang sihat.

Dalam hal ini, industri makanan boleh memainkan peranan signifikan dalam mempromosi tabiat diet sihat menerusi beberapa cara.

Antaranya, mengurangkan kandungan lemak, garam dan gula dalam makanan diproses, memastikan pilihan makanan sihat dan berkhasiat tersedia serta mampu milik kepada semua pengguna dan mengehadkan pemasaran makanan tinggi lemak, gula serta garam terutama kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu di tempat kerja, adalah baik jika dapat disediakan opsyen makanan sihat, selain menggalakkan lebih banyak program melibatkan aktiviti fizikal.

Dalam pada itu, di kawasan sesuai boleh juga disediakan ruang untuk aktiviti riadah seperti berjalan, berbasikal dan berekreasi, manakala di peringkat sekolah boleh membantu isi rumah mengajar kanak-kanak tentang tabiat pemakanan sihat.

Kembali kepada azam menguruskan badan, kita harus memastikan diri cukup kuat untuk menjauhi segala ‘cubaan dan godaan’ yang mendatang, apatah lagi kita tinggal di negara yang terkenal sebagai syurga pelbagai makanan enak!

* Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Premium