PBM akan larang ahli sertai Muafakat Nasional

Larry Sng
Larry Sng
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan melarang seluruh ahlinya daripada menyertai gagasan Muafakat Nasional (MN).

Presidennya, Larry Sng menyatakan, perkara tersebut bakal diputuskan dalam mesyuarat tertinggi parti itu.

Ujar beliau, mana-mana ahli yang berasa tidak selesa dengan parti tersebut, boleh mengambil keputusan meninggalkannya.

“Kemungkinan besar selepas mengadakan mesyuarat majlis tertinggi, PBM akan melarang seluruh ahli untuk menyertai MN.

“Mereka yang diketahui menyertainya hendaklah digantung keahliannya dan dibatalkan.

“Sesiapa yang berasa tidak selesa untuk terus bersama dengan parti ini dipersilakan untuk keluar,” katanya dalam satu hantaran yang dimuatnaik di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin antara 11 pemimpin PBM yang digugurkan jawatan dan dipecat daripada parti itu.

Pengguguran kesemua anggota parti yang terlibat itu dibuat susulan kegagalan mereka memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari yang diberikan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Larry Sng menambah, PBM menyokong penuh Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar beliau, sebagai parti berasaskan nasional yang mempunyai kekuatan tunjang dari Sabah dan Sarawak, pihaknya akan menumpukan segala usaha bagi membangunkan kawasan tersebut serta tidak terkecuali dalam memberi fokus terhadap isu di Semenanjung.

“PBM menyokong Kerajaan Perpaduan. Ini bermakna kita menyokong Anwar dan bersama dengan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pada masa ini, kita mempunyai satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN. Kita akan mempertahankannya dan bekerjasama dengan sekutu dalam menjalin pakatan pilihan raya,” jelasnya.