Curi 20 tandan kelapa sawit, sumbat dalam Kancil

Suspek curi kelapa sawit yang diangkut menggunakan kereta jenis Perodua Kancil di Kampung Membalua, Tawau.
Suspek curi kelapa sawit yang diangkut menggunakan kereta jenis Perodua Kancil di Kampung Membalua, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan seorang lelaki mencuri 20 tandan kelapa sawit dan mengangkutnya menggunakan kereta jenis Perodua Kancil membawa padah apabila kegiatannya itu berjaya dihidu oleh orang awam dalam kejadian di Kampung Membalua, di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, suspek warga tempatan berusia 23 tahun itu disyaki melakukan kegiatan curi kelapa sawit di kawasan kebun kelapa sawit di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berjaya ditahan selepas orang awam menyerahkannya kepada pihak polis di Balai Polis Bandar Sri Indah.

"Ketika kejadian, suspek menggunakan kenderaan jenis Perodua Kancil dan telah mengangkat kira-kira 20 tandan kelapa sawit dari sebuah kebun milik seorang pengadu di kawasan Membalua.

"Suspek ditahan manakala sebuah kereta dan 20 tandan kelapa sawit dirampas oleh polis Balai Polis Bandar Sri Indah untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini dan siasatan masih dijalankan termasuk menunggu hasil ujian air kencing jika suspek terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan: