ATMS Pulau Pinang serah sumbangan banjir RM50,000

Antara sumbangan yang diagihkan kepada mangsa banjir.
Antara sumbangan yang diagihkan kepada mangsa banjir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan nasib mangsa bencana banjir di Terengganu, lebih 100 ahli Adventure Touring Motorsports (ATMS) Pulau Pinang berkonvoi turun padang ke negeri ini bagi menyantuni sebahagian penduduk yang terjejas.

Presiden ATMS, Arashid Ramli berkata, misi bermula pada Selasa melibatkan sukarelawan dan 20 kenderaan pacuan empat roda, sebuah van dan sebuah lori kontena itu membawa pelbagai barang keperluan buat mangsa banjir bernilai kira-kira RM50,000.

Menurutnya, barangan seperti susu bayi, lampin pakai buang, makanan kering, kelengkapan mandian, bantal, kain pelikat, kain batik, tilam dan pakaian merupakan hasil sumbangan dari ahli ATMS, badan bukan kerajaan (NGO), ahli korporat dan individu perseorangan.

Lebih 100 ahli ATMS Pulau Pinang berkonvoi turun padang ke negeri ini bagi menyantuni sebahagian penduduk yang terjejas banjir..
Lebih 100 ahli ATMS Pulau Pinang berkonvoi turun padang ke negeri ini bagi menyantuni sebahagian penduduk yang terjejas banjir..

“Kami bertolak dari Butterworth, Pulau Pinang pada pagi Selasa dan menyerahkan barangan sumbangan di Pejabat Daerah dan Tanah Besut dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut untuk diagihkan kepada penduduk yang terlibat.

“Selain bantuan, kita juga pergi ke Kampung Bukit Payong dan Bukit Pak Ba, Setiu dan menyumbang tenaga membersihkan beberapa rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir.

“Usaha ini sebagai khidmat sosial, sokongan dan solidariti kami buat penduduk yang diuji dengan musibah banjir. Harapan kami, sumbangan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

ATMS Pulau Pinang merupakan sebuah kelab permotoran berkuasa tinggi terbesar di utara tanah air dan mempunyai lebih 500 orang ahli seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selain aktiviti konvoi bermotosikal, ATMS juga aktif dalam kerja-kerja memberi bantuan kepada rakyat malaysia yang dalam kesusahan, ditimpa musibah dan ditimpa bencana alam seperti banjir.

Selesai di Terengganu, kumpulan tersebut turut singgah menyerahkan bantuan di Golok, Thailand sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang.