10 maut, 30 cedera hotel kasino terbakar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PHNOM PENH - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 30 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah hotel kasino di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja menurut jurucakap polis pada Khamis.

"Angka berkenaan adalah berdasarkan maklumat awal kerana operasi menyelamat masih belum selesai," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Chhay Kim Khoeun kepada Xinhua.

Jumlah sebenar mangsa akan dikemas kini apabila operasi menyelamat tamat.

Kebakaran dilaporkan berlaku di hotel kasino Grand Diamond City pada tengah malam Rabu, menurut Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran.

Rakaman yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran menunjukkan beberapa orang bertindak terjun ke bawah untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan operasi menyelamat masih diteruskan setakat jam 7 waktu tempatan pada Khamis.

Hotel kasino itu dilaporkan menggaji lebih 400 pekerja. - Bernama