Perak lulus undang-undang larang ADUN lompat parti

DUN Perak meluluskan pindaan RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
DUN Perak meluluskan pindaan RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.

Kelulusan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir ketika proses pengundian RUU berkenaan.

Sebelum itu, seramai enam ADUN iaitu empat orang daripada pihak kerajaan dan dua orang lagi daripada pembangkang diberi ruang berbahas mengenai RUU dimulai Azman Noh (Pengkalan Baharu-BN) diikuti Ketua Pembangkang, Razman Zakaria (Gunung Semanggol-PN) selama 30 minit setiap seorang.

Perbahasan diteruskan lagi dengan empat ADUN lain yang diberi masa selama 20 minit untuk berhujah iaitu Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Hulu Kinta-PH), Khalil Yahaya (Kubu Gajah-PN), Jason Ng Thien Yeong (Astaka-PH) dan M Thulsi Thivani (Buntong-PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat seterusnya meluluskan undang-undang berkenaan.

Pada Rabu, usul berkenaan dikemukakan Saarani untuk bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Azman.

Saarani berkata, RUU ini betujuan untuk meminda beberapa perkara di bawah Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bagi tujuan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak bertukar parti.

Katanya, ia dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan)(3) 2022.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pindaan seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu diikuti dengan pindaan yang sewajarnya kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum peruntukan tersebut boleh mula berkuat kuasa.

RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkenaan mempunyai lima Fasal.

Fasal-fasal tersebut antara lain memasukkan perkara baharu iaitu 32A ke dalam Enakmen ibu untuk memperuntukkan bahawa seseorang ADUN perlu mengosongkan kerusinya setelah dipilih ke Dewan Negeri apabila melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas setelah dipilih sebagai ADUN menjadi anggota parti politik.

Perkara baharu 32A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang wakil rakyat itu tidak terhenti menjadi ADUN disebabkan berlaku pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

Peruntukan itu juga terpakai jika seseorang ADUN melepaskan keanggotaannya daripada parti politik apabila dipilih sebagai Yang Dipertua atau dipecat daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Berkenaan kekosongan luar jangka di DUN pula, perkara ini hendaklah dipastikan oleh Yang Dipertua apabila menerima pemberitahuan bertulis daripada mana-mana ADUN berkenaan mengenai berlakunya kekosongan itu.

Yang Dipertua hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemberitahuan bertulis itu.

Selaras dengan Fasal (5) Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, SPR hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh menerima pemberitahuan berkenaan kekosongan luar jangka itu daripada Yang Dipertua.