Keterujaan cabaran baharu

Jafri
Jafri
A
A
A

PERUBAHAN posisi ternyata membawa tuah kepada bekas pemain Penang FC, Muhammad Jafri Firdaus Chew.

Ini apabila transisi dari penyerang kepada pertahanan kanan berjaya menarik perhatian Sabah FC untuk diserapkan pada musim 2023.

Malah menurutnya, dia semakin selesa di posisi terbabit yang disifatkan sebagai satu pilihan tepat dalam memastikan kesinambungan sebagai pemain profesional.

Tambahnya, kehadiran Sabah di pentas Piala AFC 2023 menjadikan dia tidak berfikir dua kali untuk menerima cabaran bermain bersama skuad The Rhinos.

“Terus terang, saya tidak jangka cubaan pertama bermain selaku pertahanan kanan semasa bertemu JDT pada separuh akhir Piala FA mengubah karier saya.

“Ini satu cabaran baharu pergi ke Sabah dengan akan bermain posisi lain dan peluang untuk bermain di pentas Piala AFC, menjadikan saya teruja datang ke sini.

“Jurulatih telah berbincang tentang peranan saya di Sabah, yang mana beliau mahu banyak menggunakan saya di posisi pertahanan kanan.

“Namun dalam masa sama, meminta saya untuk sentiasa bersedia jika diperlukan di posisi lama iaitu selaku penyerang atau sayap jika keadaan memerlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Jafri sebelum ini lebih dikenali semasa bermain dengan skuad Bawah 23 dan 19 tahun dengan membantu pasukan negara mara ke final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selepas memulakan karier yang baik di Penang (2016-17) dan PKNS (2018-19), nasib tidak menyebelahi Jafri apabila tidak beraksi satu musim pada 2020.

Dia kembali bersama Penang selama dua musim dari 2021 hingga 2022, musim ini dia diturunkan dalam 17 perlawanan (termasuk Piala Malaysia dan Piala FA) dengan 12 daripadanya bermula selaku kesebelasan utama.

Sementara itu, Jafri mengharapkan mampu menaikkan kembali kariernya di bawah sentuhan Datuk Ong Kim Swee, antara jurulatih yang mengembangkan bakatnya semasa bersama Harimau Muda.

Jelasnya, aksi dua bekas tonggak Harimau Muda, Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat, menjadi bukti sentuhan Kim Swee dalam memulihkan semula karier pemain.

“Semua orang tahu pengalaman beliau serta cara didikannya kepada pemain-pemain, jadi peluang bekerjasama dengan Kim Swee adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya harap bersama beliau, tahap keyakinan serta karier saya sebagai pemain bola sepak profesional akan kembali meningkat sama seperti dahulu,” katanya.