Kamal dilantik pemangku Ketua Pejuang Wilayah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kamal Abd Aziz dilantik sebagai Pemangku Ketua Negeri Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkuat kuasa serta-merta.

Kamal yang merupakan Timbalan Ketua Negeri MPN Wilayah Persekutuan menggantikan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mengumumkan peletakan jawatan beliau pada 20 Disember lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerusi satu surat rasmi yang dikongsikan pada Rabu.

Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat (MEP) yang telah bersidang dalam Mesyuarat Khas pada 22 Disember lalu bersetuju memberi mandat kepada beliau untuk menimbang dan seterusnya melantik Pemangku Ketua Negeri MPN Wilayah Persekutuan.

“Oleh itu, dengan ini saya melantik Kamal sebagai Pemangku Ketua Negeri MPN Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

“Semoga dengan lantikan ini beliau dapat mencurah khidmat bakti dalam menggerakkan parti di peringkat negeri Wilayah Persekutuan berlandaskan prinsip dan perlembagaan parti demi agama, bangsa dan tanah air yang tercinta ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tentang peletakan jawatan Khairuddin sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan ekoran hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti itu.

Jelas beliau, perkhidmatannya dalam Pejuang kini sudah tidak relevan lagi selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan parti itu pada 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan pembubaran Ahli Jawatankuasa MPN Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Mukhriz berkata, berdasarkan Fasal 11.2 Perlembagaan Pejuang, MEP berkuasa menubuhkan satu Majlis Pimpinan Negeri bagi setiap satu negeri atau Wilayah Persekutuan dan menentukan perjalanannya.

“Mereka boleh menggantung atau membubarkan MPN masing-masing serta menentukan penubuhan semula dan/atau pemilihan MPN yang digantung atau dibubarkan itu,” ujar beliau.