Ibu kanak-kanak maut didera terduduk, nangis lihat jenazah

Jenazah kanak-kanak lelaki empat tahun dipercayai didera dibawa keluar oleh datuk saudaranya, Ruslan Ahmad (kiri), 47, dari bilik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk dikebumikan di tanah Perkuburan Sungai Gatom hari ini. - Foto Bernama
Jenazah kanak-kanak lelaki empat tahun dipercayai didera dibawa keluar oleh datuk saudaranya, Ruslan Ahmad (kiri), 47, dari bilik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk dikebumikan di tanah Perkuburan Sungai Gatom hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ibu kepada kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia kerana dipercayai didera, dilihat terduduk dan menangis ketika melihat jenazah anaknya itu buat kali terakhir.

Wanita itu yang sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang akibat kesalahan dadah, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 2.15 petang tadi dengan diiringi dua pegawai penjara.

Dia yang memakai baju tahanan berwarna ungu diberi peluang melihat jenazah anaknya itu kira-kira lima minit dan dilihat menangis sebaik keluar dari bilik forensik itu sebelum menuju ke van Jabatan Penjara Malaysia.

Bapa kanak-kanak itu juga sedang menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Udang, Melaka atas kesalahan dadah.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik, meninggal dunia selepas empat hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI, selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, sebelum meninggal dunia pada 26 Disember.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, 47, yang pernah menjaga kanak-kanak itu sebelum ini terkilan dengan kejadian yang menimpa dan berharap agar individu yang didapati bersalah dikenakan hukuman setimpal.

Ruslan yang ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HSI berkata, mangsa pernah mendapat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun sebelum diserahkan kepadanya untuk dijaga selama sebulan.

"Sebelum ini ibunya pernah masuk penjara dan apabila keluar dia memohon agar arwah diberikan semula kepadanya untuk dijaga. Saya beri peluang kepada ibunya tetapi apabila ditangkap semula dan dimasukkan ke penjara sekali lagi, arwah dijaga pula oleh kakaknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ruslan yang merupakan bapa saudara kepada bapa mangsa berharap agar dapat terus ‘menyimpan’ kanak-kanak itu dalam jagaannya jika tahu kejadian seumpama itu akan berlaku terhadap cucu saudaranya.

Terdahulu, van jenazah yang membawa kanak-kanak itu keluar dari pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI dengan diringi kenderaan polis pada 2.48 petang dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Gatom, Labis hari ini.

Hasil pemeriksaan awal polis mendapati terdapat kesan kecederaan teruk hampir di seluruh badan kanak-kanak itu seperti kesan pukulan dan cucuh akibat benda panas.

Setakat ini, seramai lima individu berusia 15 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan, termasuk kakak mangsa berusia 19 tahun, suaminya berumur 37 tahun serta rakannya itu.