Inspirasi kreatif hadapi cabaran banjir

Mangsa banjir A Bakar memantau keadaan di sekitar rumahnya menggunakan bot disebabkan beliau sekeluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana tinggal di rumah terapung yang dibinanya sendiri di Kampung Terbak Batu 16 Chukai, baru-baru ini. - Foto Bernama
Mangsa banjir A Bakar memantau keadaan di sekitar rumahnya menggunakan bot disebabkan beliau sekeluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana tinggal di rumah terapung yang dibinanya sendiri di Kampung Terbak Batu 16 Chukai, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KISAH seorang lelaki warga emas dari Chukai, Terengganu yang membina rumah rakit bagi menghadapi musim banjir telah mendapat perhatian ramai baru-baru ini.

Inisiatifnya itu berjaya melindungi harta benda peribadinya daripada musnah, sekali gus menyelamatkan nyawa ahli keluarganya.

A Bakar Che Ahmad dari Kampung Terbak Batu 16 menggunakan sebanyak 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia bagi mengapungkan kediaman bersaiz 21.3 meter persegi dan setinggi 5.8 meter itu.

Kediaman sementara yang dinamakan sebagai ‘Rumahku, Rakitku’ itu dibina bertitik tolak daripada kekerapan kampung halamannya ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh tiba.

Menurutnya, kediaman tersebut dibangunkan hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.

Rumah rakit yang siap sepenuhnya pada 16 September lepas itu mengambil masa tiga bulan untuk dibina, katanya.

Inisiatif A Bakar itu jelas menunjukkan banjir tidak menghalangnya daripada berdaya kreatif bagi mengatasi musibah dihadapi saban tahun oleh kebanyakan penduduk di pantai timur.

Daya pemikirannya itu memberi pengajaran kepada orang ramai supaya berusaha menyelesaikan masalah dihadapi berbanding berserah atas apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Secara amnya, apa yang dilakukan oleh A Bakar itu boleh disifatkan sebagai satu modul kecil bagi menghadapi cabaran banjir.

Malah, lelaki berusia 67 tahun itu juga berjaya menterjemahkan maksud pepatah Melayu yang berbunyi ‘sediakan payung sebelum hujan’ bagi menghadapi kesulitan.

Justeru, inisiatif berkenaan boleh dijadikan sebagai salah satu persiapan kepada orang ramai untuk berdepan dengan musibah tersebut.

Ia merupakan satu tindakan yang praktikal khususnya kepada penduduk-penduduk di kawasan kerap dilandar banjir, terutamanya pantai timur.

Dengan cara tersebut, mangsa dapat meminimumkan kerosakan harta benda, sekali gus menyelamatkan nyawa daripada menjadi korban musibah.

Namun, tidak semua orang mampu mengikut inisiatif yang dilakukan oleh A Bakar dan anak beranaknya itu.

Tambahan pula, inisiatif membina kediaman sementara itu memerlukan masa, ketabahan, kepakaran serta modal yang besar.

Ia merupakan survival skill kepada seseorang untuk meneruskan hidup dalam suasana dan persekitaran yang sulit.

Bagaimanapun, ia tidak mustahil dapat dilakukan dengan adanya campur tangan kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab menyelia hal berkaitan banjir.

Idea melindungi harta benda dan menyelamatkan nyawa itu boleh diaplikasikan mengikut kemampuan dan keupayaan penduduk yang terjejas.

Sekurang-kurangnya, pihak berwajib boleh sediakan satu bot untuk setiap rumah di kawasan yang kerap dilanda banjir.

Ataupun mereka juga boleh wujudkan satu pusat sehenti yang menempatkan lima hingga enam buah bot secara kekal dalam satu kampung.

Kemudian, mereka boleh lantik ahli jawatankuasa dalam kalangan penduduk yang layak untuk menguruskan pusat berkenaan.

Cara berkenaan sedikit sebanyak dapat memudahkan pergerakan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) secara segera sementara menunggu bantuan pihak berwajib.

Malah, inisiatif tersebut diyakini mampu menyelamatkan nyawa golongan rentan yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Oleh yang demikian, isu seperti bantuan lambat tiba atau tiada akses ke kawasan pedalaman dapat diatasi dengan pelaksanaan idea tersebut.

Impak banjir cukup menyedihkan kerana bencana alam tersebut menyebabkan kerosakan harta benda, kemusnahan tanaman dan kematian haiwan ternakan. Lebih menyedihkan, musibah itu turut meragut nyawa penduduk setempat.

Apa yang dilakukan oleh A Bakar itu boleh dijadikan inspirasi sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran banjir.

Biarpun inisiatif tersebut tidak menyelesaikan masalah banjir secara keseluruhan, namun sekurang-kurangnya ia dapat melindungi harta benda dan nyawa mangsa banjir.

Namun, semuanya bergantung kepada individu atau komuniti yang dilanda banjir sama ada berusaha menyelesaikan masalah atau berserah kepada ketentuan.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah wartawan Sinar Premium.