Kaki cedera digigit pacat, ketepikan rasa penat

Keadaan anak sungai yang berbatu dan terdapat sisa runtuhan antara cabaran ditempuh dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali di sini.
Keadaan anak sungai yang berbatu dan terdapat sisa runtuhan antara cabaran ditempuh dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali di sini.
A
A
A

BATANG KALI - Tersilap langkah maut menanti, itu antara risiko yang dihadapi tujuh anggota bomba yang menjalankan kaedah 'sweeper' di sepanjang anak sungai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali Isnin lalu.

Melalui anak sungai sejauh tujuh kilometer ditambah dengan keadaan berbatu dan sisa tanah runtuhan sekali gus merisikokan nyawa anggota pasukan penyelamat yang terlibat dalam SAR ini.

Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Rizaltul Ikhwan Ramli,31, berkata pencarian dilakukan dengan penuh berhati-hati memandangkan keadaan sungai yang berbatu dan keruh akibat tanah yang dibawa oleh runtuhan terbabit.

"Kaedah sweeper ini dijalankan pada hari keempat tragedi memandangkan pada peringkat awal dikhuatiri mangsa dibawa runtuhan sehingga ke kawasan sungai.

"Usaha dijalankan di kawasan sungai melibatkan kawasan tepi, gigi serta dasar sungai dengan mengambil kira faktor kemungkinan mangsa dihanyutkan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, usaha pencarian turut berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran apabila melibatkan keadaan sungai yang berarus deras.

"Ketika tugas dijalankan, arus agak deras di samping keadaan sungai yang tidak rata disebabkan faktor tanah dibawa runtuhan, ada kawasan yang dalam lebih dari paras pinggang.

Rizaltul Ikhwan
Rizaltul Ikhwan

Artikel Berkaitan:

"Jadi ketika pencarian, kami akan memanggil nama anggota-anggota yang terlibat bagi bertanyakan keadaan masing-masing," ujarnya.

Menurutnya, antara pengalaman yang tidak dilupakan apabila kedua belah kakinya cedera akibat digigit pacat.

"Setelah selesai tugas kami semua kembali ke kawasan yang lapang, ketika itu bila saya buka seluar dipakai, pacat penuh pada bahagian betis sehingga paha.

"Bahagian sekitar paha saya bengkak akibat gigitan sehingga saya dibawa menerima rawatan di klinik, rasa memang gatal sangat, bekas gigitan jadi bengkak dan menyukarkan pergerakan saya," katanya.

Tambahnya, biarpun tugas yang dilaksanakan bersama rakan setugas yang lain berisiko namun demi tanggungjawab menyempurnakan misi, usaha tersebut dijalankan dengan penuh bersemangat.

"Masa itu dalam fikiran kami semua hanyalah satu, iaitu berjaya menemui mangsa, atas faktor itu, soal penat lelah langsung tidak terasa malah tugas dilaksanakan dengan penuh tekad.

"Pencarian kami tidak menemukan mangsa disebabkan kesemua mangsa ditemukan di kawasan runtuhan, bagaimanapun kami tetap bersyukur kerana semua mangsa berjaya ditemui," katanya.

Dalam pada Rizaltul Ikhwan mengakui tragedi Batang Kali memahat satu memori yang tidak dapat dilupakan buat dirinya.

"Tragedi ini memberikan kesan yang sangat mendalam pada saya kerana melibatkan jumlah angka korban yang agak besar.

"Biarpun saya terlibat pada hari pertama sehingga hari keempat, namun saya bersyukur kerana tugas SAR ini berakhir dengan sempurna," katanya.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.