'Temui petunjuk mangsa terakhir ketika tidur'

Juyana menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini pada Sabtu.
Juyana menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini pada Sabtu.
A
A
A

BATANG KALI - Iltizam untuk menemukan keseluruhan mayat mangsa yang hilang antara tekad salah seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tugas mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali di sini pada Sabtu.

Berbekalkan usaha dan tawakal, Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Juyana @ Azlan Musa merupakan individu terakhir berjaya menemui kanak-kanak lelaki yang merupakan mangsa terakhir tragedi tersebut.

Juyana berkata, pencarian ditumpukan di kawasan sektor A yang mana menjadi lokasi penemuan mayat bapa dan kakaknya sebelum ini.

Menurutnya, dirinya kemudian mengambil keputusan untuk berehat di bawah pokok sekitar lokasi pencarian selepas beberapa jam melakukan tugas.

"Sewaktu saya tidur, saya terbayangkan keadaan di mana kami semua berjaya menemukan kesemua mangsa tragedi ini, dan dari situ ilham untuk mencari mangsa datang.

"Setelah saya bangun, bagaikan mendapat satu petunjuk baharu saya teruskan usaha pencarian sehinggalah saya ternampak cecair hitam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, dia lantas memaklumkan perkara tersebut kepada pegawainya sebelum usaha pengorekan dilakukan.

"Saya bersama beberapa anggota lain terus mengorek pada kedudukan cecair itu, dan telahan saya tepat apabila menemukan kain.

Artikel Berkaitan:

"Lantas saya menarik kain tersebut, dan ketika itu saya terhidu bau yang amat kuat, pengorekan kemudiannya diteruskan sehingga kami berjaya menemukan mayat terakhir tersebut," katanya.

Anggota pasukan penyelamat membawa keluar mayat mangsa tragedi tanah runtuh.
Anggota pasukan penyelamat membawa keluar mayat mangsa tragedi tanah runtuh.

Menurutnya, perasaannya bercampur baur tatkala berjaya menemukan mangsa terakhir itu memandangkan usaha pencarian ini sudah memasuki hari kesembilan.

"Tugas ini bukan satu perkara yang mudah, di belakang kami terdapat ribuan pengharapan bukan sahaja daripada keluarga mangsa namun seluruh rakyat Malaysia.

"Masa sama saya amat berbangga kerana sebagai pegawai bomba, kami berjaya melaksanakan misi yang sukar dan mencabar ini," katanya.

Ujar Juyana, tiada sebarang petua dan amalan yang diamalkannya melainkan berdoa kepada ALLAH sebelum setiap kali misi pencarian mangsa dimulakan.

"Tiada sebarang petua sebaliknya setiap kali sebelum memulakan tugas saya sentiasa berdoa agar tugas yang akan dilaksanakan berjalan dengan lancar dan yang paling penting pengharapan dan kebergantungan saya letakkan pada ALLAH.

"Masa sama saya akan pastikan diri dalam keadaan bersedia untuk menempuh apa jua halangan dan cabaran ketika operasi dijalankan," katanya.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

End....