Perkembangan cuaca, isu kenaikan harga makanan jadi tumpuan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas berakhirnya misi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada Sabtu, negara dikejutkan pula dengan Kejadian lebih 100 rumah atas air penduduk Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Sabah yang musnah akibat fenomena air laut pasang besar.

Kejadian pada tengah malam Sabtu itu juga mengakibatkan sekurang-kurangnya 500 rumah terancam akibat hujan berterusan dan fenomena air pasang di kampung berkenaan.

Pada Ahad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada lebih 200 penduduk yang terjejas.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa terlibat.

"Insya-ALLAH, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut sama membantu sedaya mungkin manakala bantuan lain dari kerajaan juga akan menyusul," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berlaku hingga Rabu ini.

Keadaan cuaca di Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.

Cuaca sama juga dijangka berlaku di Sarawak sehingga hari ini, membabitkan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kerajaan juga memberi jaminan untuk terus membantu mangsa dan ahli keluarga yang terlibat biarpun operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm telah berakhir secara rasmi 12 tengah hari Ahad.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, fokus kini terarah kepada pengurusan pasca bencana dan bagi tujuan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diberikan tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Sementara itu, isu kenaikan harga barang makanan juga terus diberi tumpuan apabila Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin dalam kenyataannya menyifatkan tiada sebarang solusi konkrit mengenai kenaikan harga barang makanan yang dijelaskan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam.

"Mekanisme subsidi bersasar telah disebut oleh Perdana Menteri pada hari pertama pentadbirannya tetapi masih belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara yang sama," katanya.

Satu lagi perkembangan politik negara menarik perhatian apabila bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa beliau kini sudah menjadi ahli UMNO bagi bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, keputusan berpindah itu diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menjadikan kawasan itu sebagai kubu buat BN.

Perkara itu didedahkan menerusi satu video pendek di akaun TikTok BN Sungai Buloh pada Ahad ketika satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama, Sungai Buloh.