Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan catat penurunan

Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk melalui jambatan yang sudah ditenggelami air laut untuk berpindah ke tempat selamat sewaktu membuat pemantauan fenomena air pasang besar di Kampung Tinusa Dua malam tadi. Foto Bernama
Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk melalui jambatan yang sudah ditenggelami air laut untuk berpindah ke tempat selamat sewaktu membuat pemantauan fenomena air pasang besar di Kampung Tinusa Dua malam tadi. Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan penurunan setakat jam 8 malam Ahad, namun penduduk di persisir pantai Sabah yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar bertambah.

Di Terengganu, mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) turun kepada 1,628 orang berbanding 3,908 mangsa pada petang tadi dengan Kuala Nerus merekodkan 1,215 orang, Besut (183), Kuala Terengganu (154) dan Marang (76).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan semua PPS di Hulu Terengganu dan Dungun telah ditutup dan hanya 13 PPS masih beroperasi di empat daerah yang menempatkan 430 keluarga.

Di Kelantan 5,073 mangsa banjir daripada 1,692 keluarga masih berlindung di 19 PPS di Pasir Mas dan Tumpat malam ini, berkurangan berbanding 7,746 mangsa daripada 2,561 keluarga petang tadi.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, dua sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 9.12 meter (m) dan Kampung Jambu, Tumpat (2.61m).

Di Perak, 62 orang daripada 14 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) di daerah Hilir Perak setakat jam 8 malam.

Di Sabah, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud turun kepada 143 mangsa daripada 58 keluarga Ahad malam berbanding 212 orang daripada 77 keluarga petang tadi.

Bagaimanapun, jumlah penduduk di persisir pantai terutama yang tinggal di rumah atas air dipindahkan akibat fenomena air pasang besar meningkat kepada 1,288 mangsa daripada 267 keluarga, berbanding 1,151 orang daripada 241 keluarga petang tadi.

Seramai 513 mangsa dipindahkan di sebuah PPS di Sandakan, 54 orang berada di sebuah PPS di Kota Kinabalu manakala 721 mangsa lagi di enam PPS di Pitas.
Artikel Berkaitan:


Di Sarawak, jumlah mangsa banjir kekal 84 mangsa daripada 27 keluarga dengan hanya satu PPS beroperasi iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi, Serian. - Bernama