Gangguan bekalan air: 16 peratus kawasan pulih jam 7 malam

Status pemulihan gangguan bekalan air di 32 kawasan di Sepang, Hulu Langat (14) dan dua di Petaling telah mencapai 16 peratus sehingga jam 7 malam Ahad - Gambar hiasan
Status pemulihan gangguan bekalan air di 32 kawasan di Sepang, Hulu Langat (14) dan dua di Petaling telah mencapai 16 peratus sehingga jam 7 malam Ahad - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir telah mencapai 16 peratus sehingga jam 7 malam Ahad.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan ia melibatkan 32 kawasan di Sepang, Hulu Langat (14) dan dua di Petaling.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” menurut kenyataan itu.



Kenyataan itu menyebut bekalan air bagi kawasan terjejas akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi, dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 petang Isnin manakala kawasan terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dijangka pulih sepenuhnya jam 6 pagi Selasa.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi, seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Artikel Berkaitan:


Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi semalam, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. - Bernama