AMK Perak bawa susu formula, air mineral bantu mangsa banjir

Sebahagian pimpinan AMK Perak yang terlibat dalam misi bantuan banjir AMK Perak di Bandar Meru Raya di sini pada Jumaat.
Sebahagian pimpinan AMK Perak yang terlibat dalam misi bantuan banjir AMK Perak di Bandar Meru Raya di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak memulakan misi bantuan banjir ke Kelantan dengan penghantaran barang-barang keperluan untuk mangsa bencana berkenaan.

Ketuanya, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, misi pertama melibatkan bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh kawasan Parlimen di negeri Kelantan.

Menurut beliau, AMK Perak membawa barang-barang keperluan seperti susu formula dan air mineral bagi kegunaan mangsa yang masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Misi ini sebenarnya diketuai oleh AMK Pusat dan AMK Perak bersama-sama AMK Perlis, AMK Kedah serta AMK Pulau Pinang ditugaskan untuk membantu di kawasan yang terjejas di Kelantan manakala negeri-negeri lain ke Terengganu.

"Sebenarnya, misi pertama ini memberi tumpuan kepada keperluan mangsa banjir yang masih lagi berada di PPS. Kita akan ada misi kedua melibatkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan-kawasan terjejas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika pelepasan misi bantuan banjir AMK Perak di Bandar Meru Raya di sini pada Jumaat.

Majlis pelepasan disempurnakan Pegawai Khas Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Muhamad Fahimuddin Zahidanishah.

Menurutnya, seramai lapan pimpinan AMK Perak terlibat dalam misi berkenaan yang akan bergabung dengan AMK negeri-negeri lain untuk meringankan beban mereka terjejas dengan bencana berkenaan.

Ditanya mengenai misi bantuan untuk bencana banjir di Perak, Zaim Sidqi berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dengan keperluan bagi mangsa-mangsa banjir di Perak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keadaan banjir di Perak tidak seteruk yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, tetapi itu bukanlah alasan untuk mereka tidak membantu mangsa bencana di negeri sendiri malah sukarelawan telah bersedia untuk membantu.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!