Dah tiga kali rumah musnah

Siti Ariah sugul mengenangkan rumah yang kali ketiga musnah akibat banjir.
Siti Ariah sugul mengenangkan rumah yang kali ketiga musnah akibat banjir.
A
A
A

KUALA KRAI - Hanya linangan air mata dapat menggambarkan perasaan hiba seorang warga emas tatkala melihat rumahnya musnah buat kali ketiga akibat dibadai arus deras ketika hujan lebat di Ladang Kuala Pertang di sini Isnin lalu.

Lebih menyayat hati, bencana yang menimpa Siti Ariah Jusoh, 75, turut sama dirasai tiga anak serta seorang menantunya apabila ruang niaga masing-masing yang terletak bersebelah rumah itu juga dihanyut arus.

Anak-anaknya ialah Mohd Asri Mat Shairi, 50, yang mengusahakan kedai makan, Mohd Fadil Mat Shairi, 40, (kedai percetakan), Noorrehati Mat Shairi, 38, (gerai pisang goreng) dan suami Noorrehati, Kamaruzaman Alias, 42, (kedai pakaian terpakai).

Keseluruhan kerugian dialami mereka dianggarkan berjumlah lebih RM100,000 akibat banjir setinggi dua meter tersebut.

Siti Ariah dan Mohd Asri melihat barangan rumah yang rosak ditenggelami air banjir di Kuala Krai.
Siti Ariah dan Mohd Asri melihat barangan rumah yang rosak ditenggelami air banjir di Kuala Krai.

Siti Ariah berkata, keadaan menyedihkan itu disedari mereka sekeluarga semasa pulang ketika air surut untuk membersihkan rumah tersebut pada jam 10 pagi Isnin.

“Sampai sahaja di rumah, saya tengok semua dinding dah runtuh.

“Saya terlampau sedih kerana ini dah kali ketiga selepas pertama kali rumah musnah hanya tinggal tangga akibat banjir tahun 2000 dan rumah lenyap terus dalam kejadian kedua pada banjir 2014,” katanya ketika ditemui di lokasi bencana di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Siti Ariah yang turut menjaga seorang anak orang kurang upaya (OKU) lemah anggota, rumah tersebut adalah pemberian seorang bekas wakil rakyat dari Terengganu semasa banjir tahun 2014.

“Banjir besar pada tahun 2000 saya dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membina semula rumah kami.

“Kali ini, saya tak tahu nak buat apa. Buat masa sekarang, saya menumpang tinggal di rumah anak sulung berusia 52 tahun bersama isterinya yang terletak di kampung sama,” katanya yang mempunyai lapan anak termasuk OKU, Noraini Mat Shairi, 37.

Siti Ariah sayu berdiri di hadapan rumahnya yang musnah akibat banjir.
Siti Ariah sayu berdiri di hadapan rumahnya yang musnah akibat banjir.

Siti Ariah juga kehilangan 12 ekor biri-biri peliharaan dalam bencana itu.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, dia buntu memikirkan kedai makannya yang hanya tinggal lantai simen pecah selepas semua kerusi dan meja makan dihanyutkan air.

“Tiada apa-apa yang tinggal untuk saya mengemas kecuali sisa-sisa lumpur.

“Saya mengalami kerugian lebih RM15,000 manakala adik saya yang berniaga kedai percetakan kerugian lebih RM30,000 kerana semua komputer dan mesin cetak habis dihanyut banjir,” katanya.

Mohd Asri berdiri di tapak kedai makannya yang hanya tinggal lantai pecah.
Mohd Asri berdiri di tapak kedai makannya yang hanya tinggal lantai pecah.