Tanah runtuh: Operasi SAR dikecilkan, fokus di sektor C

Gambar pecahan lokasi penemuan mayat mangsa. - Foto JBPM
Gambar pecahan lokasi penemuan mayat mangsa. - Foto JBPM
A
A
A

BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini ditumpukan di sekitar sektor C (riverside).

Kawasan berkenaan merupakan lokasi terakhir di mana empat mangsa ditemui bergulung di dalam khemah di kedalaman tujuh meter sekitar jam 11.04 pagi pada Khamis.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bolna dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 70 anggota bomba dikerahkan dalam operasi SAR pada Jumaat.

"Jumlah kekuatan keseluruhan pasukan SAR adalah 91 orang membabitkan sembilan unit dan sembilan anjing unit pengesan (K9), hari ini.

"Setakat jam 5 petang tadi, purata penggalian setiap sektor melebihi 70 peratus dengan tumpuan diberikan di Sektor C (riverside),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hafisham berkata, daripada 30 mangsa yang disahkan maut, pasukan penyelamat menemui jumlah tertinggi di sektor A (hill view) iaitu seramai 19 orang, sektor B (farm view) seorang, sektor C (river view) 10 orang, manakala tiada mangsa di sektor D (green house).

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan masih tiada tanda positif berhubung keberadaan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh yang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki.

Operasi SAR akan diteruskan sehingga ke malam bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan: