Tanah runtuh: Tiada tanda positif lokasi mangsa terakhir

Salah sebuah jengkaut yang dilihat meninggalkan lokasi SAR pada Jumaat.
Salah sebuah jengkaut yang dilihat meninggalkan lokasi SAR pada Jumaat.
A
A
A

BATANG KALI - Masih tiada tanda-tanda positif selepas lapan jam usaha mencari kanak-kanak lelaki mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini pada Jumaat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada jam 8 pagi dijangka diteruskan sehingga ke malam bergantung kepada keadaan cuaca.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, cuaca di lokasi operasi cerah bagaimanapun kelihatan kelompok awan mendung menghampiri lokasi kejadian sekitar jam 4.15 petang.

Difahamkan, skop pencarian bagi operasi SAR yang masuk hari kelapan telah dikecilkan kepada beberapa sektor sahaja di mana lokasi mangsa terakhir dipercayai berada.

Turut kelihatan, dua buah jengkaut keluar meninggalkan lokasi SAR beberapa jam selepas operasi SAR dijalankan.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, jumlah mangsa telah diisytiharkan semula secara rasmi seramai 92 orang daripada jumlah asal yang dianggarkan iaitu 94 individu.

Sebelum itu, polis menganggarkan seramai 94 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh berkenaan berdasarkan maklumat daftar masuk yang diperoleh daripada pihak pengurusan tapak perkhemahan terbabit.

Seramai empat mayat terdiri daripada satu lelaki dewasa, satu perempuan dewasa serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dijumpai pada jam 11.04 pagi di sektor C (riverside) di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa berkenaan ditemui dalam satu bungkusan khemah di kedalaman tujuh meter.

Penemuan terbaru itu bermakna hanya seorang mangsa tragedi tanah runtuh berkenaan yang masih gagal ditemui pasukan SAR setakat ini.