Sesat lapan jam di hutan cari lokasi tanah

Antara mangsa yang ditemui selepas sesat selama lapan jam di hutan di Kampung Berangkok Kuala Penyu.
Antara mangsa yang ditemui selepas sesat selama lapan jam di hutan di Kampung Berangkok Kuala Penyu.
A
A
A

KUALA PENYU - Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak sesat di dalam hutan selama lapan jam ketika mencari lokasi tanah untuk dijual di Kampung Berangkok di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, kesemua mangsa iaitu Masli Baring, 66; Mohd Shafuan Sungsi, 27 bersama adiknya, Mohd Azizul, 26, serta Mind Aqel Abdullah, 10, akhirnya ditemui selepas terdengar bunyi siren pada jam 5 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.48 petang.

Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 17 kilometer dari BBP Kuala Penyu.

Seorang kanak-kanak antara empat individu yang dilaporkan sesat di hutan dalam kejadian di Kampung Berangkok Kuala Penyu.
Seorang kanak-kanak antara empat individu yang dilaporkan sesat di hutan dalam kejadian di Kampung Berangkok Kuala Penyu.

"Menurut laporan, seramai empat mangsa hilang selepas dipercayai sesat di hutan sejak jam 9 pagi ketika mencari lokasi tanah untuk dijual.

"Pasukan bomba kemudian menggunakan siren sebagai panduan untuk memanggil mangsa selain bertindak menjejak suara mereka dan akhirnya mereka ditemui sejauh tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati semua mangsa selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.37 petang.

"Mangsa hanya mengalami keletihan dan haus kerana mereka langsung tidak membawa sebarang bekalan tetapi semuanya dalam keadaan selamat," ujarnya.