19 cerun, 5 jalan runtuh akibat banjir

Nanta (tiga dari kanan) mendengar penerangan berkaitan tebing runtuh di Tanah Merah.
Nanta (tiga dari kanan) mendengar penerangan berkaitan tebing runtuh di Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Sebanyak 19 cerun dan lima jalan runtuh akibat banjir daripada keseluruhan 94 lokasi bencana membabitkan lapan negeri di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu turut melibatkan 61 lokasi banjir termasuk di Terengganu dan Kelantan yang terjejas teruk.

Menurutnya, turut berlaku jalan mendap di enam lokasi dan jambatan rosak serta runtuh di tiga lokasi.

“Kawasan terjejas teruk masing-masing enam daerah di Terengganu dan Kelantan diikuti empat daerah di Pahang serta Negeri Sembilan.

“Dua daerah di Kedah dan Johor, manakala satu daerah di Perak serta Selangor,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat lokasi runtuhan tebing di bawah Jambatan Kusial di sini pada Jumaat.

Nanta berkata, sebanyak 52 jalan negeri dan 42 jalan Persekutuan terlibat dalam bencana banjir fasa pertama dan kedua tahun ini.

"Jalan ini akan dibaik pulih segera oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan memberi tumpuan di kawasan seperti Batang Kali, Selangor.

"Jumlah kerugian akibat bencana belum diperoleh kerana masih dalam proses mengumpul maklumat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nanta berkata, pembaikan segera dengan anggaran kos berjumlah RM850,000 akan dilakukan di jalan persekutuan FT003 di Seksyen 664 laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu yang rosak akibat ditenggelami banjir pada Ahad lalu.

“Bagi jalan persekutuan FT004 Seksyen 281.5 Machang-Jeli di Jambatan Kusial di Tanah Merah masih dibuka kepada orang ramai selepas runtuhan dan hakisan tebing di bawah jambatan itu akibat hujan lebat pada Ahad lalu.

“Pada waktu sama, pemantauan rapi dan pemeriksaan fizikal dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Tambah beliau, aduan orang ramai boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh yang melibatkan jalan seliaan JKR seluruh negara.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!