Konsert palsu, ibu tunggal didakwa cuba tipu rakan Datuk Awie

Norhayati Maslinda hadir di Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat, bagi menghadapi pertuduhan kes cubaan memperdaya rakan penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Awie berhubung konsert palsu, Oktober lalu.
Norhayati Maslinda hadir di Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat, bagi menghadapi pertuduhan kes cubaan memperdaya rakan penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Awie berhubung konsert palsu, Oktober lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan cubaan menipu rakan penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Awie, berhubung konsert palsu, Oktober lalu.

Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba memperdaya penganjur acara, Murbarak Akhtar Mohd Aris, 52, dengan mendorong mangsa untuk membeli tiket konsert 'Unplugged Living Legend' yang tidak wujud, supaya menyerahkan harta iaitu wang ke akaun Bank Islam milik tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, di sini pada jam 10.30 malam, 24 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menyara empat anak berusia 24 hingga lima tahun.

"Suaminya sudah meninggal dunia 18 Januari lalu dan kini tidak bekerja, selain mempunyai penyakit slip disc," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mendengar perkara itu, Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 28 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, polis menahan seorang wanita di sekitar Klang, dipercayai terlibat dalam penipuan berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud, kononnya melibatkan beberapa artis popular.

Perbuatan wanita itu mula dikesan apabila seorang penyanyi rock terkenal tanah air, mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pada 4 Februari.

Sementara itu, dalam laporan media pada Oktober lalu, penyanyi, Datuk Awie mendedahkan wanita terbabit ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, wanita itu dipercayai turut menggunakan nama dan gambarnya bersama beberapa rakan artis lain seperti Ahmad Dhani, Ziana Zain, Erra Fazira serta Ella.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Awie mengucapkan syukur kerana wanita itu telah didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Beliau berharap, perkara itu tidak berulang, kerana gambarnya bersama penyanyi lain telah digunakan untuk tujuan menipu.

"Kita kena bantu banteras kes seumpama itu, supaya nama kita tidak terpalit dalam kes jenayah.

“Kalau cerita (harga) RM300 hingga RM400 itu duit juga, bukan senang nak cari duit. Jadi saya harap, mana-mana individu yang tertipu, hadir membuat laporan," katanya.