Jumlah mangsa banjir di empat negeri menurun, Perak kekal

DUNGUN, 21 Dis -- Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior disebabkan paras air yang mula naik di sekitar kawasan Sungai Nyior Paka hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman yang dijangkakan berlaku sehingga esok.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
DUNGUN, 21 Dis -- Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior disebabkan paras air yang mula naik di sekitar kawasan Sungai Nyior Paka hari ini. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman yang dijangkakan berlaku sehingga esok. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menurun pada sebelah petang Khamis berbanding pagi manakala di Perak tidak berubah.

Di Kelantan, seramai 25,755 orang daripada 8,015 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), berkurangan berbanding 30,115 orang daripada 9,189 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 84 PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Jeli dan Machang.

Di Terenggaanu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS pada petang Khamis turut menunjukkan penurunan dengan 33,942 orang berbanding 36,231 orang pada sebelah pagi.

Menurut Sekretariat JPBN, sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di kesemua lapan daerah iaitu Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Pahang, Sekretariat JPBN merekodkan penurunan mangsa banjir selepas hanya 23 orang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan petang Khamis berbanding 35 orang sebelah pagi.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Pahang di daerah Pekan iaitu di Kuala Sungai Chini dan Paloh Hinai selain di Lubuk Paku, Maran sudah melepasi tahap amaran.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua PPS di Segamat menurun sedikit kepada 46 orang berbanding 48 orang pada sebelah pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut JPBN, dua PPS yang masih dibuka di daerah itu iaitu di Balai Raya Kampung Batu Badak masih menempatkan 34 orang, manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek masih terdapat 12 mangsa.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan peringatan waspada apabila hujan berterusan dijangka berlaku di Segamat, Batu Pahat dan Pontian hingga Jumaat.

Sementara itu, di Perak, PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk menjadi satu-satunya PPS yang masih dibuka di negeri tersebut.

Seramai 26 mangsa banjir daripada 12 keluarga merupakan kumpulan terakhir yang berlindung di PPS itu berikutan rumah mereka masih digenangi air.

Jurucakap Sekretariat JPBN melaporkan Sungai Bidor di Changkat Jong Hilir Perak melebihi paras normal iaitu 2.82 meter, namun masih berada di bawah paras berjaga-jaga. - Bernama