Potongan cukai 30 peratus rumah bawah RM300,000 di Putrajaya

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memberikan potongan cukai taksiran sebanyak 30 peratus bagi semua kediaman di Putrajaya yang berharga bawah RM300,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan rungutan penduduk di Putrajaya mengenai cukai yang dikenakan agak tinggi berbanding kawasan lain.

“Saya mendengar rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Setelah mendapat penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300,000 akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, pemotongan tersebut adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

“Potongan sebanyak 30 peratus ini diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada tahun 2017 sehingga kini yang melibatkan hampir 8,500 unit kediaman,” katanya.

Menurut Anwar, pengurangan cukai taksiran tersebut akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2023.

“Pengurangan cukai taksiran akan mula berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya.

Artikel Berkaitan: